HEADLINES

Agong kesal, dukacita AS guna kuasa veto tolak gencatan senjata di Gaza

Agong turut menyeru seluruh rakyat supaya terus bersolidariti bersama rakyat Palestin dan menghulurkan sebarang bentuk bantuan kemanusian bagi meringankan beban mereka

5:47 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dukacita dan kesal terhadap tindakan Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa vetonya, menolak resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang menggesa gencatan senjata segera dalam konflik Israel-Palestin.

Istana Negara dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan tindakan AS itu sekali gus menggagalkan usaha UNSC mencari jalan penyelesaian konflik tersebut yang mengorbankan lebih 17,000 rakyat Palestin setakat ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Mejar Jeneral Datuk Zahari Mohd Ariffin berkata, tindakan itu juga seolah-olah menghalalkan kekejaman rejim Zionis terhadap rakyat Palestin dengan pembunuhan lebih ramai orang awam dan kemusnahan harta benda, fasiliti serta kemudahan perubatan di Gaza.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan sokongan kepada pendirian Kerajaan Malaysia, menerusi kenyataan Perdana Menteri dan Menteri Luar Negeri, yang membantah dan mengecam tindakan veto AS terhadap resolusi yang dikemukakan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan disokong 102 negara-negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

“Seri Paduka Baginda menyeru seluruh rakyat supaya terus bersolidariti bersama rakyat Palestin dan menghulurkan sebarang bentuk bantuan kemanusian bagi meringankan beban dan penderitaan mereka,” katanya.

Konflik itu sehingga kini mengorbankan lebih 17,000 rakyat Palestin, dengan 70 peratus melibatkan kanak-kanak dan kaum wanita manakala lebih 48,000 yang lain cedera.

Zahari berkata, Seri Paduka Baginda turut menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama untuk bersama berdoa agar konflik Israel-Palestin itu dapat dihentikan dengan segera.

“… serta rakyat Palestin dilindungi dan tanah air mereka dibebaskan daripada penjajahan dan penindasan rejim Zionis.

“Seri Paduka Baginda juga turut menyeru masjid dan surau di negara ini serta rakyat yang beragama Islam di kediaman sendiri untuk terus mengadakan solat sunat hajat dan doa selamat bagi memohon ihsan daripada Allah SWT untuk memelihara kesejahteraan rakyat Palestin,” katanya.

Terdahulu, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia amat kesal dan membantah tindakan AS menggunakan kuasa vetonya.

Perdana Menteri berkata, mewakili negara, beliau turut kesal dengan sikap AS yang masih mempertahankan tindakan pembunuhan anak-anak kecil tanpa sekatan di Gaza.

“Satu dunia menemplak dan membantah (tindakan Israel) dan saya masih kesal dan bantah sikap AS yang tidak mempedulikan hak kemanusiaan.

“Saya bagi pihak kerajaan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya dan membantah keputusan AS menolak gencatan senjata Majlis Keselamatan PBB,” katanya. – 11 Disember, 2023

Topics

 

Hangat

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

DoSM estimates Malaysia’s population to be 34.1 mil in 2024

Three states with the highest population are Selangor, Johor, Sabah

Short-lived La Niña expected in early 2026, but stable weather to follow

MetMalaysia forecasts cool conditions and brief shifts in rainfall patterns before returning to normal

Related