HEADLINES

JKNS siasat kematian remaja akibat kelemahan diagnosa pegawai perubatan di Hospital Tuaran

Pengarahnya memandang serius kes kematian remaja terbabit yang meninggal dunia akibat denggi

9:02 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) memandang serius kes seorang remaja lelaki yang meninggal dunia akibat denggi yang didakwa berpunca dari kelemahan diagnosa pegawai perubatan di Hospital Tuaran.

Pengarahnya, Datuk Dr Asits Sanna berkata, satu siasatan menyeluruh dan telus sedang dijalankan untuk mengenal pasti tindakan penambahbaikan yang boleh dilaksanakan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan rawatan kesihatan kepada rakyat di negeri itu.

“JKNS sentiasa berusaha dari semasa ke semasa untuk meningkatkan kualiti rawatan di Hospital Tuaran.

“Kini, Hospital Tuaran mempunyai empat pakar yang bertugas iaitu seorang pakar perubatan am, dua pakar pediatrik dan seorang pakar perubatan kecemasan,” katanya dalam kenyataan, lewat malam tadi.

Menurut beliau, siasatan awal sudah dilaksanakan oleh jabatan itu dengan menyemak rekod perubatan pesakit semasa kedatangan pesakit di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Tuaran.

Dr Asits berkata, pihaknya mendapati pesakit hadir ke Jabatan Kecemasan dan Trauma di hospital terbabit sebanyak dua kali iaitu pada 25 dan 28 Disember 2023.

“Pesakit itu merupakan seorang warganegara lelaki berusia 18 tahun dari Kampung Bulieng, Tuaran. Dia hadir ke Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Tuaran pada jam 11.23 pagi, 25 Disember 2023 dengan gejala sakit ulu hati (‘epigastric pain’) dan muntah selama sehari.

“Berdasarkan rekod, pesakit tidak mengadu sebarang gejala lain seperti demam, cirit-birit, sakit dada atau sesak nafas. Pemeriksaan tanda vital semasa menerima rawatan juga adalah stabil dengan bacaan suhu normal,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, pesakit itu turut diberi rawatan ubat gastrik dan ubat tahan muntah melalui suntikan intravena dan dibenarkan pulang selepas lebih kurang satu jam pengawasan di zon pemerhatian.

“Pesakit kemudian dibenarkan pulang dengan ubat tahan sakit, ubat gastrik, dan turut dinasihatkan untuk datang semula dengan segera ke hospital jika gejala bertambah teruk.

“Kemudian, dia (pesakit) datang semula ke Unit Kecemasan dan Trauma, Hospital Tuaran pada 28 Disember 2023 jam 8.50 pagi kerana mempunyai gejala pendarahan dari hidung, demam, muntah, cirit-birit, dan kurang selera makan,” katanya.

Susulan itu, katanya, pesakit kemudiannya diperiksa oleh pakar perubatan kecemasan yang bertugas di Hospital Tuaran dan disahkan menghidap penyakit denggi.

“Memandangkan keadaan pesakit ketika itu tidak stabil, dia dirujuk dan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (QEH) untuk rawatan lanjut pada jam 11.30 pagi, hari yang sama.

“Bagaimanapun, pesakit disahkan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU), QEH pada hari berikutnya,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, insiden pesakit meninggal dunia berpunca daripada tidak mendapat rawatan sewajarnya di Hospital Tuaran berulang lagi, apabila seorang remaja lelaki disahkan meninggal dunia selepas dirujuk di QEH, Kota Kinabalu pada 29 Disember lalu.

Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dilaporkan mendakwa pesakit terbabit, Aidil @ Erjuand Christian, 18, dari Kampung Buleing, Tamparuli, dibawa keluarganya untuk mendapatkan rawatan di Hospital Tuaran kerana mengalami demam panas pada 25 Disember lalu.

Tangau berkata, remaja terbabit sekali lagi dibawa keluarganya untuk mendapat rawatan di Hospital Tuaran kerana gusinya mengalami pendarahan pada 29 Disember.

Katanya, pemeriksaan doktor di QEH mendapati mengalami jangkitan demam denggi berdarah menyebabkan keadaan kesihatannya sangat kritikal. – 3 Januari, 2024

Topics

 

Hangat

[TONTON] Urus zakat secara audit bebas, profesional atasi ‘loopholes’: MCW

Jais Abdul Karim menegaskan kutipan zakat dan derma awam perlu diaudit secara profesional, dengan garis panduan jelas agar dana tidak disalahguna sambil mengingatkan, amil berhak menerima bahagian secukupnya — bukan bermewah — kerana ini ibadah, bukan perniagaan

Insiden FSO Sepat: Petronas sahkan tiga pekerja kontraktor maut, seorang parah bot jatuh dari pelantar

Proses bedah siasat terhadap tiga pekerja kontraktor yang maut akan dijalankan pada jam 8.30 pagi ini, manakala mangsa yang cedera parah masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ)

[WATCH] ‘I’m not chasing money’: Shahmalarani Chandran on life in non-Olympic sport and the cost of elite commitment

National karate athlete Shahmalarani Chandran has opened up about the financial challenges faced by athletes in non-Olympic sports in Malaysia, saying her journey has been driven by passion, discipline and personal growth rather than financial reward, as she continues to balance elite competition with coaching and teaching responsibilities

Related