HEADLINES

Jangan politikkan kes Nik Elin, sama-sama fikir martabat syariat Islam: Mufti Pulau Pinang

Kalau ingin tahu pandangan mufti, Mufti Kelantan individu lebih tepat dirujuk dalam isu ini

8:16 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid, wajar mencari jalan supaya peruntukan yang dibatalkan itu menjadi sah di sudut undang-undang.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Wan Salim Wan Mohd Noor berpandangan, isu membabitkan keputusan itu juga tidak perlu dipolitikkan mana-mana pihak.

Beliau berkata, sebaliknya pihak berkenaan perlu bersama-sama memikirkan mengenai cara-cara berkesan untuk memartabatkan kedudukan syariat Islam di negara ini.

“Pada pandangan saya, semua pihak perlu menerima keputusan mahkamah tersebut, namun jika ada mana-mana pihak tidak berpuas hati dengan keputusan terbabit, bolehlah berusaha mencari jalan supaya peruntukan dibatalkan itu menjadi sah di sudut undang-undang.

“(Seperti) kata bidalan, di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Cubalah memohon bantuan mereka yang pakar dalam bidang undang-undang untuk menggubal peruntukan Enakmen Syariah Negeri Kelantan yang tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

“…dan supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak dianggap bertindak melebihi bidang kuasanya,” katanya kepada Scoop.

Keputusan Mahkamah Persekutuan semalam menimbulkan kegusaran dalam kalangan umat Islam di negara ini. – Abdul Razak Latif/Scoop, 10 Februari, 2024

Beliau berkata, pihak lebih sesuai memberi komen terhadap isu itu ialah mereka yang berkecimpung secara langsung dalam profesyen undang-undang.

“Kalau ingin tahu pandangan mufti saya rasa Mufti Kelantan adalah individu lebih tepat dirujuk dalam isu ini, memandangkan ia berkait rapat dengan undang-undang syariah di negeri berkenaan.

“Bidalan Arab ada mengatakan yang maksudnya ‘penduduk Makkah lebih mengetahui mengenai lorong-lorongnya’,” katanya.

Ujarnya, Malaysia adalah negara yang mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen dalam pemerintahannya yang mengizinkan warganegara menzahirkan pendirian dan kehendak masing-masing, melalui apa jua saluran, selagi ia dibuat secara aman serta tidak menyalahi undang-undang.

“Ini termasuk mengadakan perhimpunan untuk sesuatu tujuan yang diperjuangkan,” katanya.

Mahkamah Persekutuan semalam membatalkan 16 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang dikemukakan Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid (tengah) dan anak perempuannya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman (kanan). – Abdul Razak Latif/Scoop, 10 Februari, 2024

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan semalam membatalkan 16 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang dikemukakan Nik Elin Zurina dan anak perempuannya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Man yang mengetuai sembilan panel, menyampaikan keputusan majoriti Hakim 8-1 hari ini, di mana mereka mengekalkan Seksyen 13 (menjual atau memberikan anak kepada bukan Islam atau orang Islam yang rosak akhlaknya).

Justeru, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan bahawa 16 peruntukan termasuk Seksyen 14 (liwat), Seksyen 16 dan 17 (hubungan seksual dengan mayat dan bukan manusia) serta Seksyen 42 (penyalahgunaan label dan konotasi halal) adalah terbatal.

Tengku Maimun berkata, dua peruntukan iaitu Seksyen 5 (tuntutan palsu) dan Seksyen 37 (perjudian) yang ditarik balik oleh kedua-duanya tahun lepas dianggap sah.

Dengan keputusan berkenaan, Badan Perundangan Negeri Kelantan, tidak lagi mempunyai bidang kuasa menggubal 16 peruntukan undang-undang yang dipertikaikan itu. – 10 Februari, 2024

Topics

 

Hangat

JDT’s Bergson set for Harimau Malaya debut as naturalisation nears completion

With Malaysia aiming to bolster its attacking firepower, Bergson Da Silva’s impending naturalisation offers a short-term solution ahead of key AFC Asian Cup qualifiers

KLIA responds swiftly to storm-induced water overflow at terminal

Engineering and safety teams mobilised within minutes to contain rainwater intrusion and protect passenger areas, as thunderstorms continue across the Klang Valley

PTPTN to use e-Kasih data to convert loans into scholarships for students from low-income households

Starting next year, PTPTN will refer to the database to transform loans for students from poor families into scholarships, lightening financial burdens and enhancing academic focus

Related