◉ HEADLINES

Utamakan keselamatan makanan ketika beli juadah berbuka puasa elak keracunan: KKM

Sebelum membeli apa sahaja juadah berbuka, orang ramai perlu mempratikkan kaedah ‘perhati dan pilih’ serta amalkan ‘lihat hidu rasa’

12:16 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Orang ramai diingatkan untuk mengutamakan keselamatan makanan sepanjang Ramadan ini ketika memilih juadah berbuka, bagi mengelakkan keracunan atau memberi risiko terhadap kesihatan diri.

Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, peniaga pula dinasihatkan supaya membersihkan terlebih dahulu bahan mentah sebelum digunakan dalam penyediaan makanan.

Malah, peniaga diminta tidak menyediakan makanan berisiko tinggi terlalu awal daripada waktu jualan.

“Bersempena dengan Ramadan ini, pastinya penjualan juadah berbuka puasa di bazar dan premis makanan akan menjadi tumpuan segenap lapisan masyarakat, selain premis itu dipenuhi pengunjung.

“Sebelum membeli apa sahaja juadah berbuka, orang ramai perlu mempratikkan kaedah ‘perhati dan pilih’ serta amalkan ‘lihat hidu rasa’ kerana ia langkah paling mudah untuk mengelakkan keracunan makanan.

“KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam keselamatan pengguna,” katanya menerusi kenyataan.

Menurutnya, selaras dengan keperluan di bawah Akta Makanan 1983 dan peraturannya, KKM melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) komited untuk memastikan keselamatan makanan yang dijual, sentiasa terjamin dengan menjalankan aktiviti pemantauan sebelum dan sepanjang Ramadan.

Aktiviti pemeriksaan dijalankan di sepanjang rantaian makanan itu, katanya, meliputi peringkat sumber bahan mentah dan tempat penyediaan makanan bagi peniaga yang sudah dilesenkan pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum Ramadan.

Usaha itu, ujarnya, diteruskan lagi dengan aktiviti pemeriksaan di premis tumpuan, seperti hotel yang menyediakan bufet Ramadan, premis pembekal bahan mentah dan premis penyediaan ais.

“Kerjasama dengan PBT juga dikukuhkan lagi dengan penganjuran taklimat keselamatan makanan kepada pengendali bazar Ramadan, memastikan pengendali mendapat suntikan pelalian anti tifoid dan menjalani latihan pengendali makanan,” katanya.

Pada masa sama, KKM mengulangi kenyataan bahawa pihaknya meneruskan Operasi Ramadan 2024 sepanjang bulan puasa, serentak di seluruh negara membabitkan semua premis makanan, termasuk bazar.

“Aktiviti operasi ini melibatkan pemeriksaan premis serta pensampelan makanan yang bermatlamat memastikan makanan disediakan atau dijual adalah selamat, mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan di bawahnya.

“Pemeriksaan ini juga akan dijalankan dengan kerjasama pihak PBT masing-masing.

“Kempen kesedaran berkaitan keselamatan makanan kepada orang ramai, pengendali dan pengusaha premis bahan mentah, premis penyediaan makanan, premis pembekal makanan turut giat dijalankan melalui bahan pendidikan kesihatan, media massa, media elektronik dan media sosial,” katanya.

Ujarnya, melalui pelaksanaan pemantauan dan penguatkuasaan berterusan, KKM memberi jaminan bahawa tahap keselamatan dan kualiti makanan sepanjang Ramadan adalah terkawal.

“Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi mana-mana pejabat kesihatan daerah, jabatan kesihatan negeri atau melayari laman sesawang http://moh.spab.gov.my serta Facebook PKKM, www.facebook.com/bkkmhq. – 12 Mac, 2024

Topics

 

◉ Hangat

[WATCH] ‘The perception exists, but it isn’t true’: Tengku Zafrul addresses ‘payung kuning’ narrative

Former Investment, Trade and Industry Minister dismisses claims that he acts as a royal intermediary for Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim, saying the long-standing 'payung kuning' perception does not reflect reality

[TONTON] ‘Persepsi itu wujud, tapi ia tidak benar’: Tengku Zafrul jawab naratif ‘payung kuning’

Bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri menepis dakwaan beliau bertindak sebagai orang tengah istana bagi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sambil menegaskan persepsi lama ‘payung kuning’ tidak mencerminkan realiti

Uthaya: compelling voice of those on the margins – Terence Netto

After two novels and dozens of short stories, writer Uthaya Sankar continues to portray life very much as it happens

◉ Related