HEADLINES

Tiada jaminan Na’imah tak larikan diri jika pasport diserahkan secara kekal kepadanya: Pendakwaan

Timbalan Pendakwa Raya berkata beliau pada bila-bila masa boleh memohon kepada mahkamah untuk mendapatkan sementara pasportnya jika ingin ke luar negara

2:50 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Pihak pendakwaan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa tiada jaminan isteri bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid, tidak melarikan diri sekiranya pasport antarabangsa dikembalikan kepadanya secara kekal.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata pihak pendakwaan bukannya ingin menyekat hak kebebasan Na’imah untuk mendapatkan pasport kerana beliau pada bila-bila masa boleh memohon kepada mahkamah untuk mendapatkan sementara pasportnya jika ingin ke luar negara.

“Apa jaminan tertuduh tidak akan melarikan diri?” katanya pada prosiding pendengaran permohonan Na’imah bagi menyemak perintah Mahkamah Sesyen yang menahan pasportnya selepas beliau didakwa gagal mengisytiharkan harta.

Peguam Na’imah, M.Puravalen pula berhujah bahawa hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf dalam prosedur dan undang-undang semasa membuat keputusan untuk menyita pasport berkenaan.

“Ini kerana tiada alasan dikemukakan oleh pihak pendakwa raya untuk mewajarkan penyitaan itu, sekali gus menjadikan keputusan itu terkhilaf di sisi undang-undang dan tidak wajar dari segi prosedur.

“Penyitaan pasport pemohon tanpa sebab adalah melanggar hak perlembagaan pemohon untuk melancong ke luar negara, sebagai satu aspek hak kebebasan individu seperti yang termaktub di bawah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Mohd Fadhly Mohd Zamry pula berkata keputusan Hakim Mahkamah Sesyen dalam menetapkan syarat tambahan iaitu Nai’imah perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah adalah tidak salah kerana ia selaras dengan peruntukan undang-undang.

Hakim Datuk Ahmad Bache kemudian menetapkan keputusan bagi permohonan itu pada 22 Mac ini.

Na’imah memfailkan permohonan pada 16 Februari lepas dengan mendakwa alasan yang kukuh harus diberikan Timbalan Pendakwa Raya untuk menahan pasport beliau dan adalah tidak wajar ia dibenarkan hanya disebabkan rutin atas permintaan pendakwaan.

Pada 23 Januari lepas Na’imah, 66, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan gagal mematuhi notis agar mengisytiharkan hartanya termasuk Menara Ilham serta beberapa aset lain di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Hakim Azura Alwi membenarkan Na’imah diikat jamin RM250,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan beliau menyerahkan pasportnya kepada mahkamah. – 13 Mac, 2024

Topics

 

Hangat

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Man with many titles: a look into Mokhzani Mahathir’s expansive resume

As we await the disclosure of Mokhzani’s assets, Scoop delves into his extensive directorships and shareholdings. 

FIFA slams FAM: Forged documents, fines and 12-month suspension rattles Malaysian football

World football’s governing body has sanctioned the Football Association of Malaysia (FAM) and seven naturalised players for using falsified documents to secure eligibility in the Asian Cup qualifier against Vietnam in June

Related