HEADLINES

Buka kantin masa Ramadan: PAS tetap anggap keterlaluan, PIBGN minta isu tidak diperbesarkan

Kata PAS, pandangan itu bukan mengenai soal tidak menghormati masyarakat pelbagai kaum di negara ini, tetapi Malaysia adalah negara Islam

10:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — PAS tetap dengan pandangan mengecam pembukaan kantin sekolah sepanjang Ramadan yang disifatkannya sebagai tidak menghormati bulan mulia itu.

Bercakap kepada Scoop, Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin berkata, pandangan itu bukan mengenai soal tidak menghormati atau mahu memecahbelahkan masyarakat pelbagai kaum di negara ini, tetapi Malaysia adalah negara Islam.

“Saya sokong kenyataan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat itu (Datuk Ahmad Yahaya). Membuka kantin sekolah ketika Ramadan memang keterlaluan, kita kena tunjuk sikit, sekurang-kurangnya masyarakat tahu, ini Ramadan, jadi hormati bulan mulia ini.

“PAS tetap kepada pendirian itu, tidak setuju dengan kenyataan Menteri Pendidikan (Fadhlina Sidek) yang membenarkan kantin di semua sekolah beroperasi seperti biasa sepanjang Ramadan,” katanya hari ini.

Terdahulu Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena mengecam pengumuman Fadhlina itu.

Ahmad menyifatkan pengumuman tersebut yang dibuat atas alasan bagi memudahkan pelajar bukan Islam mendapatkan makanan ketika waktu rehat, sebagai keterlaluan dan seolah-olah tidak menghormati Ramadan.

Datuk Hashim Jasin berkata, biarpun kantin tidak dibuka, mereka yang tidak dapat berpuasa, terutama guru uzur dan murid bukan Islam boleh membawa bekal serta makan di tempat tersembunyi – Alif Omar/Scoop, 13 Mac, 2024

Kenyataan pemimpin PAS itu diselar Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan yang meminta parti berkenaan berhenti mempolitikkan isu terbabit.

Malah, Syahredzan berkata, pemimpin pembangkang lebih cenderung mengeluarkan kenyataan yang memecahbelahkan masyarakat dan bukannya memupuk perpaduan

Katanya, terdapat pelbagai sebab mengapa kantin wajar dibuka ketika Ramadan kerana di sesebuah sekolah, ada pelajar dan guru bukan Islam yang tidak berpuasa.

Mengulas lanjut, Hashim berkata, biarpun kantin tidak dibuka, mereka yang tidak dapat berpuasa, terutama guru uzur dan murid bukan Islam boleh membawa bekal serta makan di tempat tersembunyi.

“Rasanya sejak dulu lagi perkara ini difahami sebab kita ini, sebuah negara yang meletakkan Islam itu tinggi, dalam Perlembagaan pun Islam agama Persekutuan.

“Lagi satu, pendidikan itu penting, murid yang dididik perlu tahu ini, Ramadan patut dihormati, walau dia tidak berpuasa tetapi tidak boleh makan secara terbuka,” katanya.

Datuk Mohamad Ali Hasan berkata, hormat menghormati, simpati atau ambil kira adat resam manusia sepatutnya lebih ditekankan – Gambar Bernama, 13 Mac, 2024

Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Datuk Mohamad Ali Hasan berkata, membuka kantin ketika Ramadan sepatutnya tidak perlu menjadi isu atau diperbesarkan.

“Kita buka kantin dengan syarat tidak perlulah dibising atau diuar-uarkan dengan ghairah bahawa kantin dibuka sebab bagi murid bukan Islam, mereka juga ada keperluan untuk makan.

“Jadi hormat-menghormati antara satu sama lain, bukan Islam hormatilah orang Islam yang sedang berpuasa, hormat kepada yang lain juga menjadi adab sebagai orang Islam yang bertamadun,” katanya.

Beliau berkata, hormat menghormati, simpati atau ambil kira adat resam manusia yang sepatutnya lebih ditekankan.

“Jadi saya kira tidak timbul (isu), sebagai contoh kalau sekolah rendah jenis kebangsaan tentunya lebih meriah kalau kantin dibuka, takkan lah kita hendak menghalangnya, itu contoh klasik.

“Misalnya sekolah yang ada murid Islam dan mereka menjadi minoriti, yang minoriti itu mesti faham kehendak majoriti.

“Bagi majoriti itu juga mesti mengambil kira hati budi orang minoriti, ini sebagai satu subset kehidupan masyarakat di Malaysia dan saya percaya, ini adalah langkah membudayakan Madani,” katanya. – 13 Mac, 2024

Topics

 

Hangat

[TONTON] Urus zakat secara audit bebas, profesional atasi ‘loopholes’: MCW

Jais Abdul Karim menegaskan kutipan zakat dan derma awam perlu diaudit secara profesional, dengan garis panduan jelas agar dana tidak disalahguna sambil mengingatkan, amil berhak menerima bahagian secukupnya — bukan bermewah — kerana ini ibadah, bukan perniagaan

Insiden FSO Sepat: Petronas sahkan tiga pekerja kontraktor maut, seorang parah bot jatuh dari pelantar

Proses bedah siasat terhadap tiga pekerja kontraktor yang maut akan dijalankan pada jam 8.30 pagi ini, manakala mangsa yang cedera parah masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ)

Malaysia risks missing World Cup 2026 as pressure mounts for Free-to-Air broadcast deal

Analysts urge urgent government intervention to secure accessible coverage of the FIFA World Cup 2026, warning that cost barriers could sideline fans and weaken the nation’s football culture

Related