HEADLINES

Hanya 17 daripada 10,000 kertas penyelidikan ditarik balik, situasi tidak membimbangkan

Dari segi statistik hanya 17.2 daripada 10,000 artikel yang dikeluarkan melibatkan kontroversi (ditarik balik)

1:15 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan walaupun Malaysia berada pada kedudukan keenam kadar penarikan balik jurnal, situasi itu tidak begitu membimbangkan.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, daripada 10,000 artikel yang diterbitkan hanya 17.2 yang ditarik balik.

“Dari segi statistik hanya 17.2 daripada 10,000 artikel yang dikeluarkan melibatkan kontroversi (ditarik balik).

“Walaupun kita keenam, dari segi angka memang… mungkin tidak berapa membimbangkan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan dikemukakan Tan Hong Pin (PH-Bakri) di Dewan Rakyat, hari ini.

Hong Pin ingin mengetahui apa yang menyebabkan kadar penarikan balik jurnal di Malaysia iaitu keenam tertinggi itu berlaku dan langkah kementerian untuk menangani situasi tersebut.

Ia susulan analisis dilakukan organisasi penyelidikan akademik, Nature pada Disember 2023 mendapati bagi setiap 10,000 kertas penyelidikan Malaysia yang diterbitkan, 17.2 telah ditarik balik, iaitu tiga kali lebih tinggi daripada kadar purata bagi semua negara yang dianalisis.

Negara lain dalam senarai itu ialah Arab Saudi dengan 30.6 penarikan balik bagi setiap 10,000 kertas penyelidikan diterbitkan, Pakistan (28.1), Rusia (24.9), China (23.5), Mesir (18.8), Iran (16.7) dan India (15.2).

Menurut Nature, artikel itu ditarik balik atas “kebimbangan bahawa proses semakan oleh seseorang atau sekumpulan individu dengan kefahaman setaraf penyelidik telah terjejas” dan “manipulasi sistematik proses penerbitan dan semakan.”

Mengulas lanjut, Mustapha berkata, KPT sentiasa berusaha memastikan penyelidik dan penyelidikan mereka ditapis sebaik mungkin di peringkat universiti.

“Dari segi proses sebelum kita terbitkan jurnal itu kita tapis dulu dan apabila kita hantar ke peringkat penerbitan jurnal, mereka juga ada penyelidik yang akan menapis jurnal-jurnal ini.

“Dan kalau ada perkara berlaku contohnya seperti di UPM (Universiti Putra Malaysia), jadi jurnal itu akan dikembalikan,” katanya.

Sementara itu, Mustapha berkata, JPT turut mengeluarkan surat pekeliling bertarikh 13 Julai 2023 bagi melarang penggunaan dana kerajaan untuk tujuan pembayaran kepada penerbit tertentu.

Katanya, dalam merencana peningkatan kualiti penyelidikan di universiti, kementarian memberikan penekanan agar setiap universiti menekankan aspek nichenya iaitu kekuatan yang ada pada mereka.

“Ini adalah sebagaimana yang dinyatakan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir semasa menjawab pertanyaan lisan pada 12 Mac lalu,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, Universiti-Universiti Awam (UA) di KPT juga perlu fokus kepada penyelesaian isu-isu utama di Malaysia.

Katanya, sebagai contoh, dalam konteks Universiti Sains Malaysia (USM), mereka mempunyai kekuatan dalam bidang kelestarian (sustainability) dan antara universiti contoh yang mempunyai kepakaran dalam bidang Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

“Universiti Putra Malaysia (UPM) pula memfokuskan kepada aspek pertanian dan keterjaminan makanan.

“Maka inilah penekanan-penekanan yang akan kita berikan mengikut fokus kekuatan yang ada pada setiap institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia yang akan menjamin kualiti penyelidikan,” katanya. – 18 Mac, 2024

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Cleared for layoffs? AirAsia to retrench 20% of workforce in major cost-cutting move

This allegedly involves cabin services, cargo and logistics, engineering and maintenance, as well as the commercial division, according to Scoop’s source

Apad confirms inDrive licence revoked effective July 24, but company can appeal

Russian-based company can file appeal through the agency for the Transport Ministry's consideration

Related