HEADLINES

LPF tidak akan lulus filem papar kandungan LGBTQ: Saifuddin

Berdasarkan statistik LPF, sebanyak 11,430 permohonan filem untuk ditapis pada tahun lepas dengan kutipan caj penapisan berjumlah RM10.5 juta

5:34 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Lembaga Penapisan Filem (LPF) tidak akan meluluskan tayangan mana-mana filem yang memaparkan kandungan mempromosi gaya hidup LGBTQ (lesbian, gay, biseksual, transgender dan kelompok yang mempersoal identiti seksual diri), bergantung kepada keseluruhan jalan cerita.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata badan eksekutif yang menapis dan memberi klasifikasi filem itu juga tidak akan meluluskan tayangan bagi filem yang mengandungi unsur komunisme, Islamofobia, bertentangan dengan akidah Islam dan ajaran sesat.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini didapati terdapat peningkatan bagi filem-filem yang memasuki pasaran Malaysia yang mengandungi unsur-unsur bertentangan dengan pegangan dan norma kehidupan masyarakat di negara kita seperti LGBTQ, komunisme, Islamofobia dan bertentangan dengan akidah Islam.

“Dalam konteks ini suka saya memaklumkan, kerajaan Malaysia tidak pernah meratifikasi mana-mana konvensyen antarabangsa berkaitan LGBTQ serta tidak pernah mengiktiraf sebarang gaya hidup LGBTQ,” katanya ketika memberi penerangan menteri berhubung Pemerkasaan LPF selepas tamat sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata dengan kepesatan teknologi digital industri pada masa kini, LPF berdepan pelbagai cabaran dalam memenuhi jangkaan pelbagai pihak termasuk penggiat industri filem dan penyiaran serta tahap penerimaan dan kematangan khalayak penonton.

Justeru, Saifuddin Nasution memberi jaminan LPF akan bersikap terbuka dalam memberi khidmat nasihat bagi membantu semua pihak memastikan filem yang dihasilkan dapat ditayangkan kepada umum.

“Di satu sisi LPF dilihat terlalu rigid, bahkan dianggap gunting tajam yang menyekat kreativiti penggiat filem tempatan tetapi di satu sisi lain LPF kena mengimbangi dan mempertahankan nilai-nilai baik yang menjadi pegangan kepada masyarakat tempatan. 

“Dalam menjalankan tugas mengimbangi ini, LPF memberi jaminan bahawa sifat fleksibiliti dan terbuka kita adalah untuk menggalakkan dan merangsang pertumbuhan filem tempatan dan pada masa yang sama tatakelola dan peraturan serta undang-undang harus dilaksanakan… kita kena juga tangani isu sosial yang semakin kompleks dan rencam yang tidak berlaku zaman dulu tetapi sekarang berleluasa,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan statistik LPF, sebanyak 11,430 permohonan filem untuk ditapis pada tahun lepas dengan kutipan caj penapisan berjumlah RM10.5 juta. 

Pada sesi penerangan itu, empat Ahli Parlimen turut mengambil peluang berbahas antaranya Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang mahu kerajaan menyekat kandungan filem yang tidak bersesuaian di Netflix.

Menjawab perkara itu, Saifuddin Nasution berkata Akta Penapisan Filem 2002 (Akta 620) tidak memberi kuasa kepada LPF untuk mengawal filem dan bahan di platform penstriman dan Over The Top (OTT)namun KDN bersedia berbincang dengan Kementerian Komunikasi yang bertanggungjawab untuk kewajaran memperluas bidang kuasa LPF. – 21 Mac, 2024

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Related