HEADLINES

Kenyataan MCCBCHST mengelirukan, boleh timbulkan suasana tidak harmoni

Adalah tidak wajar MCCBCHST beranggapan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 [Akta 355] sebagai tidak berperlembagaan

6:30 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kenyataan Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST) disifatkan mengelirukan dan boleh menimbulkan suasana tidak harmoni dalam negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, adalah tidak wajar bagi pihak MCCBCHST beranggapan bahawa pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 [Akta 355] sebagai tidak berperlembagaan dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Cadangan untuk meningkatkan bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah dengan menaikkan kadar hukuman yang pada masa ini hanya terhad kepada pemenjaraan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau sebatan tidak melebihi enam kali atau apa-apa gabungan hukuman-hukuman tersebut.

“Kadar hukuman yang diperuntukkan dalam akta tersebut didapati sudah tidak lagi sesuai dengan perkembangan semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Jelas beliau, walaupun kesalahan jenayah syariah diperbuat oleh Badan Perundangan Negeri, hukuman bagi kesalahan yang diperuntukkan dalam undang-undang negeri masih dalam had yang diberikan oleh undang-undang Persekutuan.

“Selain itu, berdasarkan titah Sultan Selangor pada 28 Ogos 2023, kerajaan telah menubuhkan jawatankuasa khas mengkaji kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menggubal undang-undang Islam,” katanya.

Katanya, sebarang cadangan pindaan yang dibuat kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 tidak akan mengubah kuasa perundangan yang telah diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan kepada Badan Perundangan Negeri.

Sebelum ini MCCBCHST dilaporkan beranggapan cadangan pindaan Akta 355 tidak berperlembagaan dan bertentangan dengan struktur asas Perlembagaan atas alasan kesalahan jenayah berkaitan sudah termasuk dalam undang-undang jenayah sedia ada sebagaimana yang disenaraikan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dalam hal ini Mohd Na’im berkata, semua pihak digesa untuk tidak memberikan sebarang kenyataan yang bersifat ‘speculative’ dan ‘pre-emptive’ berhubung dengan cadangan pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) juga ingin menasihatkan semua pihak menjunjung tinggi titah Sultan Selangor pada 29 Disember 2023 agar rakyat Malaysia khususnya mereka yang bukan beragama Islam agar menghormati dan tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal agama Islam di Malaysia.

“Justeru, semua pihak dinasihatkan untuk tidak memberikan sebarang kenyataan yang boleh mengelirukan mahupun mencetuskan kegusaran kepada orang awam,” katanya. – 6 April, 2024

Topics

 

Hangat

Malaysia breaks 11-year losing streak against Vietnam with impressive 4-0 victory

The national team showed effective teamwork and fast-paced plays that kept their opponents under pressure

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

38% of AirAsia flights delayed in 2024: Loke

Minister outlines measures to improve on-time performance, including incentives, penalties, and full refunds for major delays

Related