HEADLINES

Minta rasuah RM350,000, bekas Setiausaha Politik Hamzah Zainudin didakwa lagi

Mengikut pertuduhan, bekas Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Dalam Negeri itu didakwa meminta wang suapan berjumlah RM350,000 daripada Pengarah Urusan Nexuscorp Group Sdn Bhd, Wan Azhar Mohamed Yusof

12:10 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Bekas Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Hamzah Zainudin, Sayed Amir Muzzakkir Al Sayed Mohamad sekali lagi didakwa atas tuduhan meminta rasuah RM350,000 bagi membantu sebuah syarikat mendapatkan tender perkhidmatan penyelenggaraan dan pembekalan alat ganti peralatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Walau bagaimanapun dalam pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor hari ini, Sayed Amir, 42, mengaku tidak bersalah sejurus selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

“Faham (pertuduhan), saya mohon dibicarakan,” katanya.

Mengikut pertuduhan, bekas Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Dalam Negeri itu didakwa meminta wang suapan berjumlah RM350,000 daripada Pengarah Urusan Nexuscorp Group Sdn Bhd, Wan Azhar Mohamed Yusof.

Ia sebagai upah membantu syarikat berkenaan mendapatkan tender perkhidmatan penyelenggaraan dan pembekalan alat ganti untuk peralatan infrastruktur, server, perisian serta radio pengguna sistem RMPNET PDRM bernilai RM381,112,042.44.

Kesalahan didakwa dilakukan di pejabat syarikat terbabit di Jalan Keluli 7/109, Seksyen 7, Shah Alam, jam 4 petang pada Disember 2020 mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Sabit kesalahan mengikut Seksyen 24 (1), tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Fatin Farhana Ismail berkata, tertuduh dibenarkan jaminan RM60,000 dengan seorang penjamin oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam atas tuduhan rasuah.

“Syarat tambahan pasport disimpan Mahkamah (Sesyen Kuala Lumpur) hingga kes selesai, tiada gangguan terhadap saksi pendakwaan dan melaporkan diri di pejabat SPRM Kuala Lumpur setiap bulan.

“Sekiranya membenarkan tertuduh dijamin dalam kes ini (Mahkamah Sesyen Shah Alam), kami mohon jaminan dan syarat dikenakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur diguna pakai dalam kes ini,” katanya.

Fatin Farhana juga mengesahkan memohon untuk memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Hakim kemudiannya membenarkan permohonan itu.

Semalam, Sayed Amir Muzzakkir mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan menerima rasuah RM350,000 untuk tujuan sama.

Kesalahan didakwa dilakukan di pejabat Yayasan Tanah Aku, Solaris Dutamas, di sini, jam 4 petang, 4 Disember 2020 dan 3.30 petang 16 Disember tahun sama.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 12 Julai ini. – 24 Mei, 2024

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Cleared for layoffs? AirAsia to retrench 20% of workforce in major cost-cutting move

This allegedly involves cabin services, cargo and logistics, engineering and maintenance, as well as the commercial division, according to Scoop’s source

Apad confirms inDrive licence revoked effective July 24, but company can appeal

Russian-based company can file appeal through the agency for the Transport Ministry's consideration

Related