◉ HEADLINES

Tak perlu tubuh suruhanjaya, isu pekerja gig boleh ditangani Kesuma: Wan Agyl

Isu berkenaan boleh diselesaikan di peringkat Kesuma dan agensinya tanpa perlu pembaziran wang rakyat dan kerajaan

9:48 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pekerja Ekonomi Gig tidak perlu ditubuhkan jika ia hanya bertujuan untuk memastikan keselamatan sosial, gaji dan pengurusan aduan yang lebih baik kepada pekerja dalam industri berkenaan.

Sebaliknya, kata bekas Ketua Bahagian Polisi dan Perancangan Kumpulan Operasi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Wan Md Agyl Wan Hassan kepada Scoop, isu berkenaan boleh diselesaikan di peringkat Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dan agensinya tanpa perlu pembaziran wang rakyat dan kerajaan bagi mewujudkan suruhanjaya terbabit.

“Penubuhan suruhanjaya ini akan menyusahkan kerana ia akan menjadikan sektor itu lebih formal dan ia sangat tidak menarik untuk operator gig ekonomi.

“Akan ada lapisan birokrasi, ini hanya mendatangkan pembaziran kepada perbelanjaan kerajaan, nak bayar pengerusi suruhanjaya, nak bayar ketua pegawai eksekutif, nak bayar ahli, siapa yang akan duduk di kerusi-kerusi ini pula?.

“Kenapa macam terdesak sangat nak tubuh suruhanjaya ini sedangkan isu-isu dihadapi oleh sektor ini boleh diselesaikan di peringkat kementerian dan agensi,” katanya hari ini.

Beliau yang juga pengarah Bersama Agyl & Partners, berkata, apa yang perlu dilakukan kerajaan adalah meminda Akta Kerja 1955.

“Kalau dulu dalam akta pekerja, tidak ada definasi pekerja gig, kalau perlu untuk pinda akta itu buatlah, atau bawa usul ke Dewan Rakyat untuk pindaan akta itu.

“Masukkan definisi pekerja gig dalam akta itu, jadi bila ada definisi itu jadi kementerian ada punca kuasa untuk bantu dan memperjuangkan hak pekerja gig,” katanya.

Wan Agyl berkata, isu membabitkan pekerja gig ekonomi hanyalah isu teknikal yang memerlukan kerajaan meminda undang-undang sedia ada tanpa perlu kepada penubuhan suruhanjaya atau agensi baharu.

“Ia jadi bertindan (kuasanya) dengan banyak agensi dan kementerian dan akhirnya merugikan rakyat, kerana kerajaan perlu belanjakan wang bagi menubuhkan suruhanjaya yang tidak diperlukan,” katanya.

Tambah beliau, konsep gig ekonomi perlu terlebih dahulu difahami kerana ia sektor informal yang membenarkan fleksibiliti dan dinamik dalam industri itu.

Terdahulu, Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong berkata, laporan interim pertama kajian penubuhan Suruhanjaya Pekerja Ekonomi Gig akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri esok.

Beliau berkata laporan yang disediakan dengan kerjasama Universiti Malaya itu merupakan kertas makluman kerangka kerja bagi penubuhan suruhanjaya berkenaan.

“Selepas ini kita akan mendapatkan input-input tambahan daripada Jemaah Menteri, maka kita akan membuat perincian lanjut dan kertas muktamad akan siap pada Ogos nanti,” katanya. – 4 Jun, 2024

Topics

 

◉ Hangat

Penemuan kecederaan luar biasa pada badan, JSJ Bukit Aman diarah segera siasat kematian Noorizwan

'Saya telah meminta JSJ, khususnya pengarahnya Datuk M. Kumar, untuk menyiasat kes ini secepat mungkin dan memaklumkan hasil siasatan kepada orang ramai,' kata Mohd Khalid

[TONTON] ‘Persepsi itu wujud, tapi ia tidak benar’: Tengku Zafrul jawab naratif ‘payung kuning’

Bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri menepis dakwaan beliau bertindak sebagai orang tengah istana bagi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sambil menegaskan persepsi lama ‘payung kuning’ tidak mencerminkan realiti

Isu kibar bendera China: Hentikan keluar kenyataan berbaur hasutan, 3R, tegas Fahmi

Menteri Komunikasi berkata ia bagi mengelak sebarang tindakan dikenakan ke atas mana-mana pihak yang mungkin tidak berpuas hati dengan kejadian berkenaan

◉ Related