HEADLINES

Tabung Wakaf Mara Madani: PM setuju percepat salur dana awal RM100 juta

Tabung Wakaf Mara ini penting bagi membantu pelajar-pelajar Mara dalam kalangan Melayu-Bumiputera yang susah dan daripada keluarga berpendapatan rendah

8:04 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju mempercepat penyaluran dana awal sebanyak RM100 juta kepada Tabung Wakaf Mara Madani.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, proses itu akan dilaksanakan sebaik sahaja Mara mendapat kelulusan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sebagai Mutawalli.

“Tabung Wakaf Mara ini penting untuk dimanfaatkan bagi membantu pelajar-pelajar Mara dalam kalangan Melayu-Bumiputera yang susah dan daripada keluarga berpendapatan rendah.

“Alhamdulillah, Perdana Menteri setuju untuk mempercepat penyaluran dana awal RM100 juta kepada Tabung Wakaf Mara Madani setelah Mara mendapat kelulusan MAIWP sebagai Mutawalli,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Terdahulu, beliau membawa cadangan pelaksanaan tabung berkenaan dalam Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera yang dipengerusikan Perdana Menteri hari ini.

Beliau berkata, semoga inisiatif tabung ini dapat membantu lebih ramai pelajar susah dan kurang berkemampuan.

Anwar ketika berucap pada Majlis Penutupan Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 pada Mac lalu mengumumkan penubuhan Tabung Wakaf Mara Madani dengan geran peluncuran berjumlah RM100 juta serta menyasarkan dana terkumpul berjumlah RM1 bilion dalam tempoh dua tahun.

Asyraf Wajdi berkata, Tabung Wakaf Mara yang dicadangkan adalah untuk menumpukan kepada pelajar-pelajar Bumiputera dalam ekosistem institusi pendidikan Mara.

“Sepanjang tak sampai dua tahun menerajui Mara ini saya banyak turun padang ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), GiatMara dalan lain-lain kolej-kolej Mara. Secara umumnya lebih 70% adalah dalam kalangan keluarga B40, M40, miskin dan berpendapatan rendah.

“Saya juga banyak menerima maklum balas bagaimana kesukaran sebahagian besar mereka untuk mengeluarkan perbelanjaan awal untuk masuk ke Institut Pendidikan Mara (IPMA), bahkan ramai yang ikat perut sepanjang pengajian.

“Sebab itulah saya cadangkan Tabung Wakaf Mara yang boleh diikhtiarkan untuk mengumpulkan dana wakaf (sedekah jariah) yang boleh dimanfaatkan bagi tujuan membantu pelajar-pelajar yang susah.

“Ia juga mampu membuka peluang untuk alumni dan bekas pelajar dalam ekosistem Mara yang telah berjaya dan mahu kembali menyumbang kepada Tabung Wakaf Mara untuk manfaat orang lain pula,” katanya. – 22 Julai, 2024

Topics

 

Hangat

National shuttlers demand RM2 million salaries: can BAM keep up financially?

Several top athletes aim for salaries that could outpace even the highest-earning footballers, raising questions about the sustainability of funding within Malaysian sports

Apad confirms inDrive licence revoked effective July 24, but company can appeal

Russian-based company can file appeal through the agency for the Transport Ministry's consideration

Brunei’s DPMM FC returns as invited team for 2025–26 Super League season

MFL confirms DPMM FC’s participation with FIFA approval as 14 clubs line up for new season under stricter financial rules

Related