HEADLINES

Kebakaran saluran paip gas: KPM, Pejabat Parlimen Puchong salur bantuan RM1,000 kepada mangsa

Fadhlina turut aktifkan pasukan kaunselor dan sokongan akademik manakala Yeo Bee Yin salur tunai segera kepada keluarga dari Kampung Kuala Sungai Baru dan Kampung Tengah

12:37 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) akan menyalurkan sumbangan RM1,000 kepada warganya, termasuk guru dan murid yang terjejas insiden kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Subang Jaya, Selangor.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata setakat ini, pihaknya telah mengenal pasti seramai 107 warga KPM yang terjejas, termasuk lima guru dan 102 murid manakala empat mangsa masih menerima rawatan di hospital. 

Beliau berkata bantuan itu akan disalurkan secepat mungkin selepas segala data dikumpul dan disemak oleh Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) susulan kemusnahan barangan persekolahan, seperti buku teks dan dokumen peribadi.

“Warga KPM antara yang menerima kesan akibat kejadian ini dan ia melibatkan anak-anak kita daripada 23 sekolah di kawasan ini, jadi KPM ambil tanggungjawab penuh untuk menjaga kebajikan mereka.

“JPNS turut memaklumkan ada dari mangsa ini yang total lost, bermakna barangan keperluan sekolah tiada langsung, musnah sama sekali, jadi saya turut minta mereka bantu dari konteks itu … bantuan ini juga akan disokong oleh Yayasan Guru Tun Hussein Onn dan Yayasan Didik Negara,” katanya. 

Beliau berkata demikian selepas melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights, Puchong di sini hari ini. 

Fadhlina berkata pihaknya juga akan mengaktifkan pasukan kaunselor dan pasukan sokongan akademik di PPS itu bagi membantu kebersediaan murid menjelang sesi persekolahan yang akan bermula minggu depan. 

“Saya sudah meminta Jabatan Pendidikan Negeri untuk memantau rapat, data ini sangat dinamik, anak-anak yang terlibat akan dipantau dari hari ke hari bagi memastikan semua sistem sokongan akan disalurkan kepada mereka,” katanya. 

Sementara itu, Pejabat Parlimen Puchong menghulurkan bantuan tunai segera RM1,000 kepada keluarga dari Kampung Kuala Sungai Baru dan Kampung Tengah yang terjejas. 

Ahli Parlimennya, Yeo Bee Yin berkata bantuan kepada penduduk kedua-dua kampung, yang terletak di kawasan Parlimen berkenaan, akan diagih bermula hari ini terutama bagi mangsa yang kediaman mereka rosak sepenuhnya susulan tragedi itu.

“Bagi mangsa yang masih berada di kampung halaman, kami akan aturkan pengagihan susulan. Untuk mangsa kategori lain, kami akan mengagihkan sumbangan tunai sebaik kami mendapat data sah terkini,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook. 

Bagaimanapun, beliau berkata bagi sebarang keperluan kecemasan, penduduk di kawasan Parlimen itu boleh menghubungi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Batu 13 di talian 011-2721 7445.

Yeo berkata peruntukan RM10,000 juga disediakan untuk tindakan kecemasan lain bagi membantu penduduk di kawasan parlimen itu. 

Dalam perkembangan lain, Ketua Polis Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat memaklumkan setakat ini, seramai 529 mangsa ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara Dewan Masjid Putra Heights dan Dewan Serbaguna MBSJ (Camelia). – 2 April, 2025

Topics

 

Hangat

[TONTON] Urus zakat secara audit bebas, profesional atasi ‘loopholes’: MCW

Jais Abdul Karim menegaskan kutipan zakat dan derma awam perlu diaudit secara profesional, dengan garis panduan jelas agar dana tidak disalahguna sambil mengingatkan, amil berhak menerima bahagian secukupnya — bukan bermewah — kerana ini ibadah, bukan perniagaan

Insiden FSO Sepat: Petronas sahkan tiga pekerja kontraktor maut, seorang parah bot jatuh dari pelantar

Proses bedah siasat terhadap tiga pekerja kontraktor yang maut akan dijalankan pada jam 8.30 pagi ini, manakala mangsa yang cedera parah masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ)

[WATCH] ‘I’m not chasing money’: Shahmalarani Chandran on life in non-Olympic sport and the cost of elite commitment

National karate athlete Shahmalarani Chandran has opened up about the financial challenges faced by athletes in non-Olympic sports in Malaysia, saying her journey has been driven by passion, discipline and personal growth rather than financial reward, as she continues to balance elite competition with coaching and teaching responsibilities

Related