KUALA LUMPUR – Desas-desus mengenai pencalonan Nurul Izzah Anwar sebagai Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti akan datang menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan akar umbi dan pemerhati politik termasuk mengaitkan isu nepotisme.
Walaupun ramai melihat beliau sebagai tokoh berpotensi dan pewaris ideal perjuangan reformasi, langkah ini dilihat terlalu awal dan berisiko tinggi terhadap persepsi awam.
Bercakap kepada Scoop, Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Madya Azmi Hassan berkata, situasi ini mengingatkan kepada strategi politik bijak yang diambil oleh bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew.
“Saya boleh gunakan analogi ketika Lee Kuan Yew hendak meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Singapura, walaupun beliau mempunyai kuasa dan pengaruh penuh untuk melantik anaknya, Lee Hsien Loong, sebagai pengganti.
“Kuan Yew memilih untuk melantik Goh Chok Tong terlebih dahulu sebagai Perdana Menteri, sementara Hsien Loong dilatih sebagai timbalan.
“Langkah ini diambil bagi mengelakkan tuduhan nepotisme serta memberi masa dan ruang kepada anaknya membina kredibiliti sendiri.
“Pendekatan ini patut dijadikan iktibar oleh kepimpinan PKR, khususnya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini berada di penggal terakhir sebagai Presiden parti.
“Jawatan Timbalan Presiden bukan sekadar simbol sokongan dalaman, tetapi secara tidak langsung membuka jalan kepada calon tersebut menjadi Presiden seterusnya — dan berkemungkinan besar, calon Perdana Menteri jika PKR terus memimpin kerajaan.
“Dalam konteks ini, meletakkan Nurul Izzah sebagai calon utama untuk jawatan kedua tertinggi dalam parti ketika Anwar masih sebagai Presiden akan menimbulkan persepsi kurang sihat terhadap prinsip ketelusan dan demokrasi yang selama ini menjadi asas perjuangan PKR,” katanya hari ini.
Beliau berkata, malah, jika benar Nurul Izzah merupakan pemimpin masa depan, prosesnya tidak seharusnya terburu-buru.
“Seperti yang dilakukan oleh Kuan Yew, ruang masa untuk membina pengalaman, pendedahan dan pengaruh akar umbi adalah jauh lebih penting bagi memastikan kepercayaan parti dan rakyat terbina secara organik,” katanya.
Beliau berkata, apa yang diperlukan kini ialah ketegasan dan kejelasan pendirian daripada Anwar sendiri.
“Anwar perlu bersuara dan tidak boleh berdiam diri dalam hal ini. Jika mahu menolak persepsi negatif, beliau perlu menyatakan bahawa sokongan kepada Nurul Izzah bukan satu laluan khas, tetapi satu proses yang melalui merit, pengalaman dan kesediaan.
“Mendorong Nurul Izzah terlalu awal ke jawatan tinggi parti bukan sahaja mencalarkan imej PKR.
“Ini yang perlu diterapkan kepada ahli PKR yang kini melobi sokongan kerana boleh dilihat sebagai tindakan melemahkan demokrasi dalaman parti itu sendiri,” katanya.
Terdahulu pemilihan jawatan Timbalan Presiden PKR menjadi perhatian selepas Nurul Izzah yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh menerima banyak sokongan untuk bertanding.
Setakat ini, sebahagian besar bahagian PKR di Selangor, Perak, Pahang, Johor, Kedah dan Melaka selain pimpinan utama sayap Wanita dan Pemuda PKR menyatakan sokongan kepadanya.
Sementara itu penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Mohammad Tawfiq Yaakub berpandangan isu nepotisme tidak terpakai kepada Nurul Izzah kerana semua ahli dan rakyat Malaysia tahu beliau terlibat aktif dari awal perkembangan dan pejuangan PKR.
“Malah kedudukan beliau sekarang sebagai Naib Presiden sebenarnya melayakkan beliau untuk bersama kabinet atau jawatan penting lain dalam syarikat berkait kerajaan (GLC) tetapi beliau membuktikan tiada keperluan berbuat demikian meskipun layak atas kapasiti memegang jawatan tinggi dalam PKR.
“Justeru saya lihat beliau sudah cukup teruji, lengkap dengan pakej pemimpin masa depan parti dan negara.
“Malah tidak keterlaluan saya nyatakan tiada siapa boleh nafikan kekentalan jiwa, pengalaman dan kesetiaan beliau sehingga boleh memadamkan potensi dakwaan nepotisme yang boleh muncul.
“Ramai lagi pemimpin yang jelas amalkan nepotisme sebelum ini seperti dalam Bersatu apabila Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Pengerusi parti serta Perdana Menteri ke-8 ketika itu, melantik Datuk Seri Mukhriz yang juga Timbalan Presiden menjadi Menteri Besar Kedah. Ini baru betul nepotisme yang jelas,” katanya. – 8 Mei, 2025

