SYDNEY – Warga Australia yang berusia bawah 16 tahun akan dinyahaktifkan daripada Facebook dan Instagram pada 4 Disember ini, kata gergasi teknologi Meta.
Tindakan itu diambil ketika Australia sedang bersiap untuk melaksanakan undang-undang baharu melarang remaja daripada menggunakan media sosial termasuk Facebook, Instagram dan TikTok mulai 10 Disember atau berdepan denda yang tinggi.
Meta berkata ia akan mula menyahaktifkan remaja bawah 16 tahun daripada platformnya sebelum larangan itu berkuat kuasa, lapor AFP.
“Mulai hari ini, Meta akan memaklumkan kepada pengguna Australia yang dikenal pasti berusia 13 hingga 15 tahun bahawa mereka akan kehilangan akses kepada Instagram, Threads dan Facebook,” kata Meta dalam satu kenyataan.
“Meta akan mula menyekat akaun baharu bawah 16 tahun dan menarik balik akses sedia ada mulai 4 Disember, dengan jangkaan untuk mengeluarkan semua pengguna bawah 16 tahun yang dikenal pasti menjelang 10 Disember.
“Remaja berkenaan akan dapat mengakses akaun mereka “seperti yang ditinggalkan” apabila mereka mencapai usia 16 tahun,’’ kata Meta.
Syarikat media sosial sebelum ini menyifatkan undang-undang tersebut sebagai “kabur”, “bermasalah” dan “tergesa-gesa”.
Pada Khamis, Meta sekali lagi menyuarakan kebimbangannya berhubung larangan berkenaan.
“Kami berkongsi matlamat Kerajaan Australia untuk mewujudkan pengalaman dalam talian yang selamat dan sesuai mengikut umur, tetapi memutuskan remaja daripada rakan dan komuniti mereka bukanlah penyelesaiannya,’’ katanya.
Undang-undang baharu itu, yang berjaya diluluskan di Parlimen Australia walaupun mendapat tentangan berhubung kebebasan bersuara dan daripada pencipta kandungan digital, mewajibkan platform menyekat golongan bawah umur.
TikTok yang sebelum ini memberitahu Parlimen Australia bahawa ia mempunyai kira-kira 200,000 pengguna berumur 13 hingga 15 tahun, sedang membangunkan butang ‘laporkan pengguna bawah umur’ bagi membantu penguatkuasaan. – 20 November, 2025
