HEADLINES

Adakah menerima diskaun media AirAsia suatu amalan kewartawanan yang baik? – Rocky Bru

Ketika media memperdebatkan isu etika berhubung tawaran diskaun 50% oleh AirAsia kepada wartawan, Rocky Bru merenung mengenai niat baik, integriti, dan di manakah batasan yang perlu ditetapkan

2:41 PM MYT

 

Tawaran diskaun 50% oleh syarikat penerbangan itu menimbulkan persoalan etika untuk media tetapi adakah kita terlalu memikirkannya?

Banyak yang berlaku ketika sambutan Hari Wartawan Nasional hujung minggu lalu: Yong Soo Heong, sahabat lama saya dan penasihat lama kepada Kelab Akhbar Kebangsaan, telah diangkat  sebagai Tokoh Wartawan Hawana 2025; arwah Rozaid Rahman – kami pernah membuat liputan isu buruh bersama-sama pada awal kerjaya kewartawanan kami – turut diberi penghormatan oleh rakan-rakan seangkatan; Anwar Ibrahim mengumumkan dana berjumlah RM30 juta bagi membantu media tempatan menyesuaikan diri dengan AI yang turut membawa namanya; dan ahli lembaga pengasas Media Malaysia dan ahli lembaga pengasas Majlis Media Malaysia, yang penubuhannya mengambil masa empat dekad, telah diumumkan.

Dan AirAsia mengumumkan bahawa ia menawarkan diskaun sebanyak 50% kepada  pengamal media di seluruh negara — seramai 12,000 orang — untuk terbang ke mana-mana daripada 57 destinasi di Asean. 

Ia merupakan tawaran sekali sahaja, sempena Malaysia menjadi Pengerusi dalam gabungan 10 negara Asia Tenggara itu.

“Orang nak berbudi, kita harus berbahasa,” merupakan frasa pembukaan saya apabila wartawan dari Bernama menghubungi untuk mendapatkan reaksi saya berhubung diskaun kepada para wartawan. Ia boleh dibaca di sini.

Berikut ialah rumusan utama saya:

  1. Terima kasih, AirAsia
  2. Kami wartawan yang bergaji rendah menghargai tawaran ini – mungkin kini ada antara kami yang akhirnya dapat merealisasikan impian untuk ke Singapura.
  3. Namun saya lebih suka sekiranya AirAsia menurunkan tambang untuk rakyat Malaysia terbang dalam negara (harga tiket ke Kuching dan Kota Kinabalu semasa Hari Raya kadang kala lebih mahal daripada ke Sapporo).

Sudah tentu, ada persoalan etika — patutkah wartawan menerima tawaran sebegini?

Jadi saya bertanya kepada ChatGPT: Adakah ini satu amalan kewartawanan yang baik? 

Dan ini jawapannya:

Secara umumnya, tidak. Ia tidak dianggap sebagai kewartawanan yang baik untuk wartawan menerima diskaun daripada syarikat penerbangan atau mana-mana syarikat yang mungkin menjadi subjek liputan mereka.

Berikut sebab-sebabnya:

  1. Konflik Kepentingan
    Menerima diskaun boleh menimbulkan konflik kepentingan, sama ada secara nyata atau yang dilihat. Orang awam mungkin mempersoalkan sama ada wartawan boleh melaporkan secara objektif tentang syarikat penerbangan jika mereka menerima manfaat daripada syarikat itu.
  2. Kod Etika Kewartawanan
    Sebahagian besar kod etika kewartawanan — seperti dari Society of Professional Journalists (SPJ) atau Reuters — menasihatkan agar wartawan tidak menerima hadiah, diskaun atau layanan istimewa daripada sumber atau syarikat yang mereka laporkan:
  • Kod Etika SPJ: “Elakkan konflik kepentingan, sama ada yang nyata atau yang mungkin disalah anggap. Dedahkan sebarang konflik yang tidak dapat dielakkan.”
  • Panduan Reuters: “Jangan terima sebarang hadiah, walaupun kecil nilainya, atau layanan yang boleh dilihat sebagai menjejaskan integriti atau objektiviti anda.”
  1. Kredibiliti dan Kepercayaan
    Kewartawanan bergantung kepada kepercayaan orang ramai. Menerima layanan khas — walaupun sekadar diskaun — boleh menjejaskan kredibiliti wartawan terutama jika tidak didedahkan secara terbuka.

Bilakah i mungkin diterima

Terdapat beberapa pengecualian yang terhad namun ia tetap memerlukan ketelusan:

  • Lawatan media tajaan: Kadangkala wartawan dijemput mengikuti lawatan tajaan (contohnya oleh lembaga pelancongan atau syarikat penerbangan). Jika diterima, amalan etika ialah untuk mendedahkan tajaan itu dalam laporan yang diterbitkan.
  • Diskaun umum: Jika diskaun itu ditawarkan kepada orang awam (contohnya tambang promosi yang boleh diakses sesiapa sahaja), ia kurang bermasalah — tetapi ketelusan tetap diutamakan.

Kesimpulannya:
Menerima diskaun daripada syarikat penerbangan — atau mana-mana pihak yang menjadi subjek liputan — biasanya tidak wajar, kecuali jika:

  • Ia didedahkan secara jelas
  • Tiada liputan semasa atau akan datang mengenai syarikat berkenaan
  • Ia tidak menjejaskan, atau kelihatan menjejaskan integriti kewartawanan.

Tetapi itu pandangan ChatGPT.
Rakan-rakan saya di Majlis Media Malaysia wajar membincangkan perkara ini. Ia satu permulaan yang baik kepada beban tugas besar yang menanti mereka kelak.

Namun, jika ada wartawan muda yang bertanya pendapat saya, saya akan kata: ambillah.

Tawaran AirAsia ini hanya sekali dan ia bukan sesuatu yang anda minta atau rayu.

Kalau ia ditawarkan atas keikhlasan hati bos besar Tony Fernandes dan pegawainya, Fareh Ishraf dan Benyamin Ismail, adalah baik untuk kita mengucapkan terima kasih sebagai tanda budi bahasa.

Kita tidak wajib menerimanya. Dan kalau anda terima pun, anda tidak wajib menulis perkara yang indah-indah tentang pengalaman itu.

Saya pasti Tony, Fareh dan Ben juga tidak mengharapkan anda berbuat demikian.

Penafian: Tony dan saya saling mengenali sejak abad yang lalu. Apabila beliau mendapat tahu saya akan bercuti ke Kazakhstan hujung tahun lalu, beliau dengan baik hati menawarkan diskaun sebanyak 50% kepada saya. AirAsia X ketika itu baru sahaja memulakan operasi bagi laluan Kuala Lumpur-Almaty. Saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga, tawaran itu sangat bermakna bagi saya. Namun begitu, saya tetap membayar tambang penuh untuk saya dan isteri. – 19 Jun, 2025

Datuk Ahirudin Attan, yang lebih dikenali dengan sebagai Rocky Bru, ialah pengarah eksekutif di Big Boom Media, syarikat yang menerbitkan Scoop. Beliau juga merupakan presiden National Press Club.

Rencana ini disiarkan di blog beliau, Rocky’s Bru.

Topics

 

Popular

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Related