HEADLINES

Akta Keselamatan Dalam Talian: ‘Tunggu draf peraturan disiapkan, sebelum dikuat kuasa’ kata Fahmi

Fahmi berkata pihaknya kini sedang menunggu draf berkenaan daripada MCMC

4:12 PM MYT

 

PUTRAJAYA – Akta Keselamatan Dalam Talian 2024 bakal dikuatkuasa tidak lama lagi sebaik Kementerian Komunikasi menerima draf membabitkan beberapa peraturan yang akan diguna pakai.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pihaknya kini sedang menunggu draf berkenaan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

“Saya sedang menunggu draf daripada MCMC mengenai beberapa peraturan yang akan diguna pakai, setelah draf tersebut disiapkan dan saya menandatangani pewartaan, ia (akta) akan berkuat kuasa.

“Setelah penguatkuasaan akta, satu jawatankuasa akan dibentuk oleh Menteri Undang-Undang dan jawatankuasa itu kelak akan mempunyai kuasa kawal selia terhadap pelaksanaan akta tersebut

“Sebagai contoh mengenai takrifan online harm (kemudaratan dalam talian), jadi itu prosesnya, ini kita jangka mungkin dalam tempoh beberapa minggu yang akan datang,” katanya pada sidang media mingguan di kementeriannya hari ini.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Malaysia bakal menguatkuasakan Akta Keselamatan Dalam Talian 2024 dalam masa terdekat selepas ia diluluskan sepenuhnya di Parlimen dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Azalina berkata, undang-undang tersebut akan mula berkuat kuasa sebaik sahaja Menteri Komunikasi menandatangani perintah penguatkuasaan, sekali gus membolehkan kerajaan bertindak segera untuk menurunkan kandungan dalam talian yang menyalahi undang-undang.

Di bawah akta ini, penyedia platform digital turut diwajibkan mematuhi tanggungjawab penjagaan yang telah ditetapkan.

Akta berkenaan yang diluluskan di Dewan Rakyat pada Disember tahun lalu, menetapkan tiga tanggungjawab utama kepada penyedia platform media sosial iaitu memastikan keselamatan platform, melindungi kanak-kanak di bawah umur 13 tahun dan mengehadkan akses kepada kandungan berbahaya.

Penyedia platform juga diwajibkan mengemukakan Pelan Keselamatan Digital tahunan yang memperincikan strategi keselamatan serta pencapaian mereka dalam melindungi pengguna. – 18 Jun, 2025

Topics

 

Hangat

Putrajaya MRT line faces delays due to debris on track blocking movement

Shuttle trains, feeder buses deployed as repairs continue between UPM and Taman Equine

MoF removes Wong Chen as MDV chairman

Subang MP says no courtesy offered to inform him directly after leading the agency for three years during which it returned to profitability

24-hr Aerotrain service returns to KLIA from June 1

Overhauled system has undergone rigorous testing, to have daily maintenance window from 12 am to 5 am

Related