KUALA LUMPUR – Penduduk yang terlibat dengan letupan paip gas di Putra Heights menyifatkan laporan akhir siasatan yang dibentangkan pada Isnin sebagai ‘mengarut’ dan tidak memberikan kelegaan kepada mereka yang masih trauma dengan kejadian itu.
Mereka juga berasa bimbang kerana laporan itu menimbulkan tanda tanya berkaitan soal keselamatan di kawasan tersebut.
Salah seorang penduduk yang terlibat di mana 70% kediamannya terjejas, Puspagaran Alakasundaram, 45, berkata penduduk masih mempersoalkan pembangunan lot kedai berhampiran kawasan yang ditanam paip terbabit.

“Dalam pengumuman dapatan itu mereka kata punca kepada kejadian itu tidak berlaku dalam satu hari, tapi sudah lama.
“Kenapa tempat lain yang ada laluan paip gas ini tidak pernah berlaku kejadian, jadi saya tidak bersetuju dengan dapatan mereka. Lebih 14 tahun saya tinggal di situ, tidak pernah berlaku apa-apa pun.
“Penduduk tetap mempersoalkan pembangunan lot kedai berhampiran kawasan ditanam paip terbabit, kalau tiada usikan kepada paip terbabit atau kawasan sekitar, perkara itu pasti tidak berlaku,” katanya kepada Scoop.
Pada Isnin, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) mengesahkan insiden letupan paip bawah tanah di Putra Heights disebabkan kegagalan paip berikutan keadaan tanah di bawah saluran itu yang tidak cukup kuat untuk menampung berat dan tekanan paip.
Pengarah (Bahagian Keselamatan Petroleum) JKKP, Husdin Che Amat berkata, keadaan itu menyebabkan paip menjadi tidak stabil, bocor, dan akhirnya meletup.
Siasatan polis turut menolak sebarang unsur khianat, sabotaj atau kecuaian dikenal pasti sebagai punca sehingga boleh menyebabkan kerosakan kepada paip gas dan mencetuskan letupan berkenaan.
Mengulas lanjut, Puspagaran berkata, penduduk berasa bimbang berhubung aspek keselamatan mereka kerana mengetahui paip masih berada berdekatan kediaman.
“Apabila insiden tidak dijangka ini berlaku, ada sebahagian besar penduduk sudah hilang keyakinan terhadap aspek keselamatan selain terhadap pihak berkaitan yang memberikan kelulusan kepada projek pembangunan.
“Yang mempersoalkan bukan sahaja penduduk di taman ini, tapi taman-taman sekitar selain mereka yang tinggal berdekatan laluan paip gas di seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, Aidil Abd Ghaffar, 56, pula berkata rata-rata penduduk berasa kecewa kerana pihak bertanggungjawab lebih sibuk menumpukan kepada pembaikan saluran paip gas berbanding mempercepatkan proses pembaikan kediaman penduduk.
“Penduduk sangat-sangat terkesan, mereka dah suarakan rasa tidak puashati, seolah-olah ‘dianaktirikan’, pihak berwajib lebih mengutamakan kesinambungan penyaluran gas itu kepada pemain industri berbanding menyelesaikan masalah rumah mangsa yang terbabit.
“Penduduk masih lagi tinggal dalam ketakutan, trauma masih belum hilang dan tidak tahu hala tuju sebab tiada komunikasi terutama daripada pihak berkuasa dan kerajaan negeri terutama mengenai langkah yang diambil oleh mereka.
“Bagaimana pula dengan pengguna-pengguna jalan raya berhampiran, ada juga laluan air, jadi selamatkah mereka sebagai pengguna?,’’ soalnya.
Justeru beliau meminta kerajaan tampil dengan siasatan menyeluruh dan jelas agar penduduk tidak terus dibelenggu kebimbangan.
“Kami sangat berharap kerajaan dapat menyelesaikan isu ini dengan memberikan penjelasan tuntas supaya penduduk dapat hidup dengan tenang dan selamat.
“Kita tidak mahu tragedi ini berulang lagi, termasuk juga di tempat lain, malah sekarang pun penduduk dah tanggung banyak kerugian,” katanya.
Dalam kejadian 1 April lalu, letupan paip gas itu menyebabkan kebakaran besar dan kemusnahan harta benda dalam skala besar.
Insiden letupan yang berlaku kira-kira jam 8.10 pagi pada Hari Raya Aidilfitri kedua itu telah menjejaskan seramai 529 penduduk daripada 118 keluarga.
Sejumlah 235 premis termasuk rumah dan kedai terjejas dengan 87 unit musnah sepenuhnya.
Selain itu sebanyak 225 buah kenderaan pula mengalami kerosakan. Kejadian menyebabkan seramai 126 individu cedera termasuk ada dirawat di unit rawatan rapi. – 2 Julai, 2025

