HEADLINES

MCA ditahap paling lemah dalam politik, risiko tinggi jika keluar BN: penganalisis

Parti segagah Umno pun tidak mampu berdiri sendiri inikan pula MCA sebaliknya mereka memerlukan rakan sekutu politik, kata penganalisis

11:01 AM MYT

 

KUALA LUMPUR– Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak akan rugi sekiranya MCA memilih untuk keluar dari gabungan parti berkenaan sebaliknya langkah itu hanya akan melemahkan lagi kedudukan MCA dalam arena politik negara.

Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Madya Azmi Hassan berkata, sekiranya ahli akar umbi MCA terus mendesak, langkah itu tidak akan merugikan kerana MCA ketika ini tidak mampu menarik sokongan ramai pengundi bukan Melayu.

“Untuk MCA berdiri secara solo, parti segagah Umno pun dikatakan tidak mampu berdiri secara solo, kerana mereka memerlukan rakan sekutu politik.

“Bagi MCA, kenapa dilema berlaku sekarang? bukan kerana Umno tidak mahu beri peluang, tetapi Umno perlu menjaga akar umbi dan juga penyokong mereka.

“Umno tidak sekuat dahulu, dan dulu MCA berasa kuat dalam BN kerana merasakan Umno adalah dominan, dapat memberikan banyak jawatan politik dan juga kerusi-kerusi kepada MCA.

“Kalau MCA bergerak solo, keluar BN, langkah itu tidak akan merugikan Umno atau BN ketika ini, kerana input positif daripada MCA hanyalah mampu meraih sokongan kecil sahaja,” katanya kepada Scoop.

Azmi Hassan berkata jika parti segagah Umno pun tidak mampu berdiri sendiri, inikan pula MCA. – Gambar fail Bernama, 22 Jun, 2025

Terdahulu Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Sion berkata kepimpinan tertinggi MCA akan mengambil kira maklum balas daripada akar umbi sebelum membuat sebarang keputusan berhubung hala tuju masa depan parti itu.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas terhadap usul yang diluluskan sebulat suara oleh beberapa bahagian MCA semasa mesyuarat agung tahunan parti itu yang menggesa agar Barisan Nasional (BN) dibubarkan.

Mengulas lanjut, Azmi memberitahu, MCA pada ketika ini perlu merangka strategi untuk menarik sokongan bukan Melayu terutama daripada DAP.

“MCA ada badan pemikir mereka sendiri yang boleh merangkakan strategi untuk menguatkan BN, supaya pengundi Cina selesa dengan MCA, yang mana situasi ketika ini dilihat pengundi lebih selesa dengan DAP,” katanya.

Mohammad Tawfiq Yaakub berkata MCA perlu agresif memperjuangkan nasib orang Cina, seperti yang dilakukan DAP dan beberapa NGO yang lain. – Gambar media sosial, 22 Jun, 2025

Sementara itu penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Mohammad Tawfiq Yaakub berkata, MCA berada pada tahap paling lemah dalam politik hari ini semenjak ditubuhkan sebelum merdeka.

“Keadaan ini berlaku disebabkan oleh kehilangan keyakinan dan berlakunya peralihan sokongan kaum Cina yang amat ketara kepada parti berkenaan bermula pada Pilihan Raya Umum ke -12 (PRU 12) lalu sehingga hari ini.

“Semenjak PRU12, MCA dilihat tidak begitu vokal dan agresif memperjuangkan isu orang Cina di Malaysia berbanding pesaingnya iaitu DAP serta beberapa NGO Cina yang lain.

“Malah pencapaian MCA makin merosot apabila hanya menang dua kerusi Parlimen di Ayer Hitam dan Tanjung Piai dalam PRU 15 lalu sekali gus membuktikan parti ini semakin tenggelam dalam arus perdana politik negara.

“Dalam suasana politik Cina hari ini yang tidak memihak kepada MCA, adalah lebih baik MCA kekal dalam BN serta bersama kerajaan Perpaduan.

“Tindakan ini sekurang kurangnya mampu membuka peluang rundingan antara BN dengan PH menjelang PRU-16 akan datang untuk memberi ruang kepada agihan kerusi selamat kepada MCA yang tidak ditandingi PH,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya desakan akar umbi MCA untuk parti itu keluar daripada BN direalisasikan, keputusan itu akan mewujudkan masa depan yang lebih gelap kepada parti itu untuk menang lebih banyak kerusi dalam PRU16 akan datang.

“MCA perlu mencontohi kepimpinan UMNO yang mempunyai ketegasan dalam menangani suara-suara sekumpulan ahli yang menolak kerjasama dengan kerajaan perpaduan.

“Kita lihat UMNO menerusi tiket BN menang banyak pilihan raya kecil (PRK) lalu bermula di Nenggiri sehingga ke Mahkota hasil kerjasama dengan parti kerajaan perpaduan,” katanya.

Tawfiq berkata, MCA tidak perlu keluar daripada BN untuk terus kekal relevan, malah mesti bersama kerajaan memerintah untuk mendapat kelebihan jentera dan agihan kerusi selamat serta mengurangkan tentangan lawan politik dalam PRU16 akan datang.

“MCA tidak mampu berdiri sendiri apatah lagi jika memilih bersama Perikatan Nasional (PN), mereka tidak mampu meraih lebih banyak sokongan undi kaum Cina yang kini jelas dikuasai oleh DAP dan kerajaan Perpaduan.

“Kepimpinan MCA perlu memperlihatkan kesetiaan dan kesabaran kerjasama terlebih dahulu dalam konteks politik baru bersama kerajaan perpaduan, maka ruang perlahan-lahan akan diberikan kepada parti itu untuk mendapat tempat dalam kepimpinan kerajaan.

“Jika tindakan terburu buru diambil untuk keluar BN, maka saya khuatir MCA akan hilang dalam radar politik Malaysia serta tidak akan menang satu pun kerusi Parlimen dalam PRU16 akan datang,” katanya. – 22 Jun, 2025

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Feathers ruffled over hornbill flap – Joseph Masilamany

Why getting Sarawak’s state bird right matters more than you think 

Over 23.6 million to benefit as new electricity tariff kicks in July 1

The Energy Commission has set a new average base tariff of 45.40 sen/kWh for RP4, slightly lower than before, bringing overall electricity costs down by up to 19% compared to the previous regulatory period

Related