SEPANG – Duta Besar Malaysia ke Iran Khairi Omar, berkata sekurang-kurangnya 12 rakyat Malaysia masih berada di negara bergolak itu dan usaha pemantauan terhadap keselamatan mereka diteruskan oleh Wisma Putra.
Khairi berkata, individu berkenaan berada di beberapa lokasi termasuk di Tehran dan Shiraz, membabitkan pelajar serta rakyat Malaysia yang berkahwin dengan warga tempatan.
“Kita jangkakan kira-kira 12 orang masih berada di sana. Tapi kita terus pantau perkembangan mereka dari semasa ke semasa,
“Kita pastikan mereka berada dalam keadaan selamat dan baik. Jika keadaan mengizinkan dan mereka memilih untuk keluar, kita akan bantu,” katanya pada sidang media sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bersama kumpulan 24 individu yang berjaya dibawa keluar dari Iran.
“Dalam kumpulan ini, seramai 17 adalah rakyat Malaysia. Enam lagi ialah warga Iran yang mempunyai pertalian rapat dengan mereka, seorang lagi ialah warganegara Singapura.
“Perjalanan kami membabitkan laluan darat hampir 1,000 kilometer sebelum tiba di sempadan Iran–Turkmenistan,” katanya, memetik laporan BH.
Tambah Khairi, laluan ke timur dipilih bagi mengelakkan kawasan yang dikenal pasti sebagai zon konflik ekoran daripada pertikaian Israel-Iran.
“Kita pilih laluan yang jauh daripada punca serangan yang datang dari arah barat. Alhamdulillah, kita terima kerjasama baik daripada pihak berkuasa tempatan untuk benarkan pergerakan rentas sempadan.
Jelas Khairi lagi ramai juga warga asing lain yang cuba keluar serentak, memaksa kumpulan dari Malaysia untuk bersabar memandangkan proses pelepasan di sempadan agak panjang.
“Kami berada dalam perjalanan selama lebih 24 jam tanpa henti. Transit di Bangkok tengah hari tadi, dan akhirnya selamat tiba di KLIA,” katanya .
Bercakap mengenai komunikasi, Khairi berkata hubungan dengan rakyat Malaysia di Iran masih boleh dijalinkan melalui sistem pesanan ringkas (SMS) antara nombor tempatan.
“Kita cuba sebaik mungkin untuk kekal berhubung. Komunikasi antara nombor telefon Iran masih boleh digunakan, tapi ‘roaming’ (perayau) antarabangsa memang tidak berfungsi.
“WhatsApp pula tidak dapat digunakan seperti biasa. Tapi nampaknya ia sudah mula berfungsi semula secara perlahan-lahan, walaupun masih dikawal pihak berkuasa,” katanya yang memberi jaminan pihak kedutaan akan terus menyampaikan maklumat sahih kepada keluarga di tanah air supaya mereka mendapat perkembangan yang tepat.
Terdahulu, Wisma Putra mengarahkan penutupan sementara kedutaan Malaysia di Iran dan kakitangan kedutaan itu dibawa keluar segera berikutan krisis Iran-Israel semakin meruncing apabila kedua-dua pihak menggandakan serangan. – 23 Jun, 2025
