KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan terdapat aktiviti bogel dalam program motivasi rumah tangga eHati, yang dilakukan empat individu di Pusat Konvensyen IDCC, Shah Alam pada 27 hingga 30 September tahun lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata, aktiviti bogel itu membabitkan fasilitator dan peserta program berkenaan, pada waktu malam dikenali sebagai ‘Queens Night’ .
Menurutnya, dua pakej ditawarkan pada program itu dengan Pakej A berharga sekitar RM6,000, manakala Pakej B berharga kira-kira RM9,000.
“Pakej B ada tambahan program dikenali sebagai ‘Queens Night’ dan aktiviti bogel itu dipanggil sebagai ‘rebirth’,’’ katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di Shah Alam, hari ini.
Terdahulu, enam individu termasuk suami isteri pengasas program motivasi rumah tangga eHati, anak mereka serta tiga individu lain direman selama tiga hari bagi membantu siasatan.
Majistret Ameera Mastura Khamis mengeluarkan perintah reman selepas semua suspek terdiri daripada empat wanita dan dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam pagi tadi.
Semua individu berusia 26 hingga 57 tahun itu direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan iaitu mengaibkan kehormatan seseorang; Seksyen 294 Kanun Keseksaan iaitu berkelakuan tidak senonoh dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
Dalam pada itu, Hussein memberitahu, polis telah merampas pelbagai peralatan yang digunakan pada program berkenaan termasuk beberapa cecair minuman yang ada pada majlis itu.
Sampel cecair yang dirampas itu, kata beliau telah dihantar kepada Jabatan Kimia bagi mengetahui kandungannya.
Menurut Hussein, seramai 50 peserta program itu sudah dikenalpasti dan setakat ini 30 individu telah memberikan keterangan.
“Kita juga mengesan ada penjawat awam yang menyertai program ini dan siasatan lanjut masih dijalankan, jadi beri kami ruang,” katanya. – 16 Julai, 2025
