HEADLINES

Ibu Zayn Rayyan diarah bela diri, bapa dibebaskan

Hakim Syahliza Warnoh membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Ismanira Abdul Manaf

12:14 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini mengarahkan ibu Zayn Rayyan Abdul Matin membela diri atas tuduhan pengabaian kanak-kanak autistik itu sementara bapanya, Zaim Ikhwan dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan sama.

Hakim Syahliza Warnoh membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Ismanira Abdul Manaf namun gagal membuktikan kes pendakwaan terhadap Zaim Ikhwan.

Pasangan suami isteri itu masing-masing berusia 30 tahun. Sebaik keputusan dibacakan, Ismanira dilihat menangis sambil memeluk ahli keluarga.

Terdahulu, Ismanira dimaklumkan oleh mahkamah bahawa dia mempunyai tiga pilihan, iaitu berdiam diri dan tidak menjawab pertuduhan; memberikan keterangan secara tidak bersumpah dari kandang tertuduh tanpa disoal balas oleh pendakwaan; atau memberikan keterangan secara bersumpah dari tempat duduk saksi dengan pendakwaan diberi peluang untuk mengemukakan soalan ketika pemeriksaan balas.

Ismanira yang memberi keterangan bela diri pada hari ini, memilih untuk berbuat demikian secara bersumpah dari kandang saksi.

Prosiding itu dihadiri Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi, manakala pasangan suami isteri itu diwakili peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris serta Lavanesh Haresh.

Pada 13 Jun lalu, pasangan tersebut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas tuduhan mengabaikan anak mereka, Zayn Rayyan yang berusia enam tahun, di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Mengikut pertuduhan, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini, pada 12 tengah hari, 5 Disember sehingga 9.55 malam, 6 Disember lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 24 April lepas, pihak pendakwaan menutup kes selepas memanggil 28 saksi pendakwaan sepanjang 20 hari perbicaraan yang bermula pada 4 Februari lepas.

Antara saksi pendakwaan yang dipanggil memberi keterangan ialah individu pertama yang menjumpai mayat Zayn Rayyan, iaitu Faizul Najib Abd Munaim, Auni Afiqah Abas yang juga pengasuh Zayn Rayyan, pakar perubatan perunding forensik Dr Rohayu Shahar Adnan, tiga pegawai penyiasat serta dua saksi kanak-kanak berusia 10 tahun.

Zayn Rayyan, 6, dilaporkan hilang pada 5 Disember 2023 dan mayatnya ditemukan keesokan harinya di aliran anak sungai berhampiran rumahnya.  – 21 Julai, 2025


Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

‘Very hurtful’: Chief justice exposes legal failures driven by distorted Islamic views

Tun Tengku Maimun Tuan Mat laments misinterpretations of faith that distort justice in high-profile rulings, cites Indira Gandhi and Nik Elin Zurina cases

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Related