KUALA LUMPUR – Jumlah RM48.873 billion merupakan nilai kos keseluruhan program, aktiviti dan projek yang diaudit, bukan jumlah ketirisan atau kerugian seperti yang dilapor oleh beberapa portal media.
Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata, kenyataan sedemikian berpotensi mencetuskan kekeliruan serta persepsi negatif yang tidak berasas terhadap pengurusan kewangan negara.
“Skop pengauditan ini secara amnya mengambil kira prestasi program, projek dan aktiviti yang telah dilaksanakan merangkumi pelbagai tahun ke belakang (isu-isu legasi) serta sebarang usaha atau inisiatif yang telah diperkenalkan oleh Kerajaan.
“Justeru setiap penemuan yang dibentangkan dalam laporan ini disusuli dengan syor penambahbaikan yang konstruktif bagi membantu kementerian dan jabatan serta agensi Kerajaan meningkatkan kecekapan operasi serta memperkukuhkan sistem dalaman dan pematuhan,’’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Wan Suraya, sebanyak 44 isu yang dilaporkan dalam LKAN 2/2025 telah dimuat naik di papan pemuka dalam talian Ketua Audit Negara (AGD) semalam untuk disusuli dengan kementerian dan jabatan berkenaan.
Isu-isu sama, kata beliau, juga akan dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Susulan Laporan Ketua Audit Negara (JSLKAN) dan Jawatankuasa Tindakan Ketakteraturan Serius (JTKS) yang dipengerusikan oleh Ketua Audit Negara dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan secara bersama.
“Bagi tempoh tahun 2024 hingga bulan Jun 2025, susulan audit yang dilaksanakan oleh JAN telah berjaya membantu Kerajaan mendapat bayaran balik berjumlah RM157.73 juta, antaranya menerusi tuntutan penalti, sewa tertunggak, kutipan Liquidated Ascertained Damages (LAD), tunggakan pajakan tanah, kutipan duti dan cukai.
“Orang ramai dinasihatkan untuk merujuk kepada Laporan Ketua Audit Negara yang diterbitkan secara rasmi melalui laman sesawang Jabatan Audit Negara (JAN) di www.audit.gov.my bagi mendapatkan gambaran tepat dan menyeluruh terhadap dapatan audit yang dibentangkan,’’ katanya.
Beliau memberitahu, LKAN 2/2025 telah dibentangkan dalam Dewan Rakyat semalam setelah mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan seterusnya laporan itu akan dibahaskan di Dewan Rakyat esok.
Beliau berkata sepanjang proses pengauditan, JAN mendapat sokongan jitu daripada semua jentera kerajaan termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Jemaah Menteri.
Justeru beliau memberitahu, kerjasama dan komitmen amat penting sebagai pemangkin kepada tadbir urus berintegriti, dan menyokong agenda reformasi sektor awam ke arah pentadbiran yang cekap, berakauntabiliti dan berorientasikan rakyat.
“Orang ramai dinasihatkan mendapatkan gambaran berfakta, tepat dan menyeluruh dari laman sesawang JAN melalui www.audit.gov.my,’’ katanya. – 22 Julai, 2025
