HEADLINES

Wajah demokrasi yang lebih matang di era Madani – Sivamalar Genapathy

Tiada halangan dan kekerasan pada Himpunan Turun Anwar semalam membuktikan kerajaan bersedia menerima kritikan dan pandangan rakyat selagi ia disuarakan secara tertib

1:40 PM MYT

 

Perhimpunan “Turun Anwar” yang berlangsung semalam, walaupun tidak mendapat sambutan besar daripada rakyat, tetap menjadi detik penting dalam landskap demokrasi negara.

Sebagai anggota Kerajaan Perpaduan, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Madani di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana menjunjung tinggi semangat Perlembagaan Persekutuan dan prinsip asas demokrasi dengan membenarkan perhimpunan tersebut berlangsung secara aman tanpa gangguan.

Pada 13 Februari 2025, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan bahawa kerajaan akan meminda Akta Perhimpunan Aman 2012 (PAA) dalam sidang Parlimen yang akan datang, khususnya dengan memansuhkan Seksyen 11 yang selama ini menjadi halangan besar kepada penganjur perhimpunan.

Seksyen 11 mewajibkan kebenaran daripada pemilik atau penghuni tempat sebelum sesuatu perhimpunan boleh diadakan di lokasi tersebut.

Pemansuhan peruntukan ini akan membuka lebih banyak ruang demokratik untuk rakyat berhimpun secara aman tanpa kekangan birokrasi yang tidak wajar.

Perhimpunan semalam berjalan lancar dan aman, walaupun mesej utamanya adalah mendesak Perdana Menteri meletakkan jawatan.

Tiada halangan, tiada kekerasan, tiada tangkapan. Malah, polis dan agensi penguat kuasa memberikan kerjasama sepenuhnya untuk memastikan keselamatan semua pihak.

Ini membuktikan Kerajaan Madani bukan sahaja bersedia menerima kritikan, tetapi juga melindungi hak rakyat untuk menyuarakan pandangan, selagi ia dilakukan secara tertib dan aman.

Sebagai seseorang yang pernah berada di barisan pembangkang, saya secara peribadi memahami betapa sukarnya untuk berhimpun secara aman suatu ketika dahulu.

Kami dahulu terpaksa membawa garam, air dan tuala bagi menghadapi gas pemedih mata dan meriam air. Risiko ditangkap ketika, atau selepas perhimpunan adalah sesuatu yang hampir pasti.

Hari ini, segalanya berubah. Tiada gas pemedih mata. Tiada meriam air. Tiada tangkapan. Ini adalah reformasi sebenar bukan sekadar dalam bentuk dasar, tetapi juga dalam budaya politik dan pendekatan penguatkuasaan.

Namun kita sedar, perjalanan reformasi ini masih panjang. Masih banyak yang perlu diperbetulkan, diperbaiki dan dibina semula.

Tetapi mengharapkan kerajaan Madani untuk membetulkan kerosakan yang dibina selama lebih 60 tahun dalam tempoh dua tahun adalah tidak realistik. Reformasi yang berkekalan memerlukan masa, iltizam dan kestabilan politik.

Apa yang kita saksikan hari ini hanyalah permulaan. Lebih banyak pembaharuan sedang dirancang dan akan dilaksanakan demi manfaat rakyat. Namun untuk menjayakan agenda reformasi ini, kestabilan politik adalah asas yang tidak boleh dikompromi.

Hanya dengan kerajaan yang stabil, dasar-dasar jangka panjang dapat dirangka, institusi dapat diperkukuh, dan harapan rakyat dapat diterjemah menjadi kenyataan.

Kerajaan MADANI dibawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim komited untuk terus melangkah ke hadapan bukan demi mempertahankan kuasa, tetapi demi memulihkan negara.

Marilah kita bersama-sama mempertahankan ruang demokrasi ini dan menjadi sebahagian daripada perubahan yang sedang berlaku. – 27 Julai, 2025

Sivamalar Genapathy adalah Timbalan Setiausaha Agung merangkap Ahli Majlis Pimpinan Pusat
Parti Keadilan Rakyat

Topics

 

Popular

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Cleared for layoffs? AirAsia to retrench 20% of workforce in major cost-cutting move

This allegedly involves cabin services, cargo and logistics, engineering and maintenance, as well as the commercial division, according to Scoop’s source

Apad confirms inDrive licence revoked effective July 24, but company can appeal

Russian-based company can file appeal through the agency for the Transport Ministry's consideration

Related