HEADLINES

Wan Ahmad Farid angkat sumpah Ketua Hakim Negara

Lapan Hakim Mahkamah Rayuan serta 14 Hakim Mahkamah Tinggi turut menerima Suratcara Pelantikan

10:16 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Ketua Hakim Negara yang baharu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh hari ini menerima Suratcara Pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Wan Ahmad Farid, 62, turut mengangkat serta melafaz sumpah taat setia jawatan pada Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan Ketua Hakim Negara yang berlangsung di Singgahsana Kecil, Istana Negara.

Wan Ahmad Farid menggantikan Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersara wajib pada 2 Julai lalu.

Beliau yang sebelum ini merupakan Hakim Mahkamah Rayuan, turut dikurniakan Suratcara Pelantikan Hakim Mahkamah Persekutuan.

Istiadat berkenaan turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, lapor Bernama.

Pada istiadat sama, Sultan Ibrahim turut berkenan mengurniakan Suratcara Pelantikan kepada Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais serta Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Azizah Nawawi, diikuti Suratcara Pelantikan kepada lapan Hakim Mahkamah Rayuan serta 14 Hakim Mahkamah Tinggi.

Pengumuman pelantikan Wan Ahmad Farid sebagai Ketua Hakim Negara ke-17 dibuat pada 18 Julai lalu selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Pelantikan itu dibuat berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.

Wan Ahmad Farid yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LL.B Hons) dari University of West London dan memperoleh Certificate in Legal Practice (Hons) daripada Universiti Malaya memulakan kerjaya guamannya sebagai Peguam Bela dan Peguam Cara di Tetuan Adnan & Wee, Kuala Terengganu, dari 1987 hingga 2003.

Anak jati Kuala Terengganu itu juga aktif dalam bidang pentadbiran dan politik dan pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dari 2003 hingga 2008 sebelum dilantik Timbalan Menteri Dalam Negeri dari 2008 hingga 2009.

Antara 2011 hingga 2015, Wan Ahmad Farid kembali ke bidang guaman sebagai Peguam Bela dan Peguam Cara di Tetuan Wan Farid & Surin, Kuala Lumpur hingga dilantik Pesuruhjaya Kehakiman di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Mahkamah Tinggi Kota Bharu dari 2015 hingga 2019.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi dari 2019 hingga 2024 dan pernah bertugas di Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Mahkamah Tinggi Shah Alam (Bahagian Kuasa-Kuasa Khas), serta Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Bahagian Kuasa-Kuasa Khas 3).

Sementara Abu Bakar, 63 pula dilantik ke jawatan Presiden Mahkamah Rayuan berikutan persaraan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim pada 3 Julai lepas.

Manakala Azizah, 63, akan menggantikan Tan Sri Abdul Rahman Sebli yang bersara pada 25 Julai lalu. – 28 Julai, 2025

Topics

 

Hangat

[UPDATED] Welcome back to the Black Parade: My Chemical Romance set to rock Malaysia in 2026

Emo legends to play Bukit Jalil on April 30 as part of their long-awaited world tour, with Malaysian tickets ranging from RM299 to RM1,099 and sales opening on July 11, 2025

End of an era: Ex-Malaysia Airlines A380 faces dismantling in French scrapyard

Once a long-haul icon, the superjumbo is being dismantled for prized components as the airline modernises its fleet with fuel-efficient jets

Is it costly for small businesses to obtain halal certification?

A restaurant owners’ group agrees it can be, while application guidelines show fee is not high but added costs lie in the process to achieve compliance

Related