HEADLINES

RMK13 perlu fokus kesejahteraan rakyat, daya saing negara: penganalisis

Antara penekanan utama termasuk pemilikan rumah alternatif, gaji bermaruah, pendidikan dan pelaburan strategik

9:06 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dijangka menumpukan usaha kerajaan ke arah meningkatkan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat, khususnya melalui penambahbaikan dalam sektor kesihatan, pendidikan, pekerjaan dan perumahan.

Bercakap kepada Scoop, Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Prof Dr Ahmed Razman Abd Latiff berkata tumpuan ini penting memandangkan negara sedang menuju status negara menua, selain keperluan memastikan kanak-kanak, khususnya daripada golongan miskin bandar, menerima nutrisi yang mencukupi.

“Selain itu, Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) harus terus diperkasakan.

“Usaha juga perlu ditumpukan bagi memastikan setiap rakyat berpeluang memiliki rumah melalui alternatif pemilikan — tidak semestinya membabitkan pinjaman bank — serta menjamin pekerjaan dengan gaji yang kompetitif dan bermaruah,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa RMK13 harus dirangka sebagai pelan mesra industri dan pelabur agar negara kekal berdaya saing dan mampan.

“Namun asasnya perli dibina atas tatakelola yang kukuh dengan menekankan keterbukaan dan kebertanggungjawaban, dalam usaha mengurangkan ketirisan, pembaziran dan gejala rasuah,” katanya.

Sementara itu, penganalisis ekonomi dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin berkata RMK13 akan berdepan cabaran tersendiri dalam usaha mentransformasi ekonomi ke arah negara berpendapatan tinggi selaras dengan matlamat meningkatkan “siling dan lantai” di bawah kerangka Ekonomi Madani.

“RMK13 perlu menumpukan kepada tujuh Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang telah ditetapkan, termasuk usaha menaikkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Pembangunan Manusia (HDI) ke tangga 25 teratas.

“Selain itu, sekurang-kurangnya 45% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) perlu disalurkan kepada pendapatan pekerja,” katanya.

Menurut beliau, pendidikan perlu menjadi keutamaan kerana ia berkait rapat dengan pelbagai aspek pembangunan sosioekonomi negara seperti peluang pekerjaan, produktiviti, penerapan teknologi, peningkatan pendapatan, serta kos sara hidup.

“RMK13 perlu memberi penekanan kepada langkah rangsangan ekonomi dan diselaraskan secara strategik dengan kerangka Ekonomi Madani,” katanya.

Irwan turut mencadangkan supaya satu laporan khusus dibentangkan bagi menilai pencapaian semasa inisiatif di bawah Ekonomi Madani dan memastikan kesinambungan dasar dengan dokumen strategik lain.

“Laporan itu juga harus merangkumi penyelarasan dengan dasar-dasar seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP2030), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), dan Strategi Nasional Semikonduktor (NSS),” katanya.

RMK13 dijadual dibentangkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Dewan Rakyat esok. — 30 Julai, 2025

Topics

 

Hangat

Brunei’s DPMM FC returns as invited team for 2025–26 Super League season

MFL confirms DPMM FC’s participation with FIFA approval as 14 clubs line up for new season under stricter financial rules

Can Mutiara LRT line transform Penang’s transport, economy? Here’s an explainer

The RM13bil endeavour aims to tackle congestion, enhance connectivity, and spark economic growth across the island

Malaysian teen made RM76,000 selling child porn as police bust major online abuse ring

Authorities arrest 31 suspects, including six minors and a religious teacher, in nationwide Op Pedo 2.0 raids that uncovered 880,000 exploitative files

Related