HEADLINES

RMK13 fokus ekonomi digital berimpak tinggi, perkasa agenda Bumiputera, TVET : Zahid

RMK13 memberikan fokus strategik kepada pertumbuhan ekonomi mampan melalui pendekatan berteraskan penciptaan nilai, pendigitalan serta teknologi termaju seperti AI

3:59 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) disifatkan tepat pada masanya, ketika negara sedang berdepan cabaran ekonomi global dan gangguan rantaian bekalan yang menjejaskan daya saing serta kesejahteraan rakyat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, RMK13 memberikan fokus strategik kepada pertumbuhan ekonomi mampan melalui pendekatan berteraskan penciptaan nilai, pendigitalan serta teknologi termaju seperti kecerdasan buatan (AI).

“Saya amat tertarik dengan kebijakan kedua dalam RMK13 yang memberi penekanan kepada pemacuan ekonomi melalui industri berimpak tinggi, atau high growth, high value, dalam sektor strategik.

“Pendekatan ini bukan sahaja memastikan pertumbuhan yang mampan, tetapi juga inklusif dan saksama,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut merakamkan penghargaan terhadap perhatian yang diberikan kepada sektor pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), khususnya usaha penyelarasan gaji minimum melebihi prasyarat sedia ada bagi graduan TVET.

“Langkah memperkenalkan gaji premium berasaskan keterampilan dan kemahiran akan mengubah paradigma tenaga kerja negara daripada bergantung kepada buruh tidak mahir kepada buruh berkemahiran tinggi.

“Ini memberi nilai tambah kepada ekosistem pendidikan dan meningkatkan kebolehpasaran graduan dalam pasaran pekerjaan,” katanya.

Selain itu beliau berkata, sebanyak 132 inisiatif yang digariskan dalam resolusi Kongres Ekonomi Bumiputera Putra 35 telah diterapkan ke dalam RMK13, menunjukkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh agenda pembangunan ekonomi Bumiputera secara menyeluruh.

“Ini satu pencapaian penting yang menunjukkan suara dan aspirasi ekonomi Bumiputera tidak diketepikan, bahkan diberi keutamaan dalam perancangan lima tahun akan datang.

“Agenda ini bukan sahaja menyasar kepada pembangunan usahawan dan pemilikan ekuiti, tetapi juga memperkukuh rantaian nilai Bumiputera dalam sektor strategik.

“Pelaksanaan inisiatif Putra 35 dalam RMK13 akan memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat Bumiputera di luar bandar, pinggir bandar dan bandar, termasuk komuniti di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Zahid juga memberi penekanan terhadap keperluan perancangan jangka panjang dalam pengurusan bencana negara yang kini turut berada di bawah bidang kuasa kementeriannya.

“Langkah ini penting untuk menyediakan mitigasi yang lebih holistik terhadap bencana alam yang selama ini ditangani secara ad hoc. Perancangan strategik ini amat saya alu-alukan,” katanya.

Terdahulu, dalam pembentangan RMK13 di Parlimen hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah pelaburan sebanyak RM611 bilion perlu disediakan bagi menjayakan RMK13.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, peruntukan pembangunan daripada kerajaan dianggarkan berjumlah RM430 bilion manakala pembiayaan daripada syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC)  berjumlah RM120 bilion.

Menurut beliau, sokongan pihak swasta pula melalui kaedah perkongsian awam  swasta (PPP) adalah sebanyak RM61 bilion.

“Daripada peruntukan RM430 bilion tersebut, lebih daripada separuh iaitu sebanyak RM227 bilion akan disalurkan kepada sektor ekonomi sebagai tunjang utama pertumbuhan negara.

“Sektor sosial turut diberi keutamaan apabila RM133 bilion diperuntukkan dengan sektor pendidikan menerima RM67 bilion, manakala sektor kesihatan diperuntukkan RM39 bilion.

Sektor keselamatan pula akan diperuntukkan RM51 bilion, manakala sektor pentadbiran akan menerima RM17 bilion dan agihan strategik ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk memacu pembangunan negara secara menyeluruh dan berimpak tinggi,” kata Anwar. – 31 Julai, 2025

Topics

 

Hangat

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Man with many titles: a look into Mokhzani Mahathir’s expansive resume

As we await the disclosure of Mokhzani’s assets, Scoop delves into his extensive directorships and shareholdings. 

FIFA slams FAM: Forged documents, fines and 12-month suspension rattles Malaysian football

World football’s governing body has sanctioned the Football Association of Malaysia (FAM) and seven naturalised players for using falsified documents to secure eligibility in the Asian Cup qualifier against Vietnam in June

Related