◉ HEADLINES

Sindiket penyeludupan didalangi pegawai tentera tumpas, 10 ditahan

Lima pegawai kanan tentera dan lima orang awam termasuk seorang wanita warga Indonesia ditahan sekitar Lembah Klang, pagi tadi

1:50 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melumpuhkan sindiket penyeludupan didalangi pegawai-pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang beroperasi di selatan tanah air dan dipercayai mengumpul hasil rasuah lebih RM3 juta.

Menurut sumber, tangkapan dibuat menerusi Ops Sohor oleh Bahagian Perisikan, Ibu Pejabat SPRM dengan bantuan pasukan Anti-Corruption Tactical Squad (ACTS).

Jelasnya, lima pegawai kanan tentera dan lima orang awam termasuk seorang wanita warga Indonesia berusia antara 30 hingga 55 tahun ditangkap di sekitar lembah Klang sejak operasi itu pada jam 6.30 pagi tadi.

Serbuan itu, katanya, adalah berpandukan maklumat hasil risikan kira-kira 12 bulan.

“Pegawai-pegawai kanan itu adalah daripada bahagian perisikan ATM termasuk dua bekas anggota ATM daripada bahagian yang sama.

“Mereka telah ditugaskan untuk memantau dan mengekang aktiviti-aktiviti penyeludupan, namun mereka dipercayai telah bersekongkol dengan sindiket penyeludupan tersebut sejak lima tahun yang lalu dan disyaki telah mengumpulkan hasil rasuah sebanyak lebih RM3 juta,” kata sumber.

Senjata tiruan yang ditemui dalam lokasi serbuan. – Gambar SPRM, 13 Ogos, 2025

Sumber memberitahu, siasatan awal mendapati lima pegawai kanan yang menjadi suspek utama disyaki membocorkan maklumat operasi ketenteraan kepada penyeludup dan bersekongkol dengan sindiket membawa masuk barangan larangan seperti dadah, rokok serta barang-barang lain dari negara jiran ke Malaysia, membabitkan jumlah nilai sebanyak kira-kira RM5 juta sebulan.

Suspek, katanya, dipercayai menerima wang rasuah berjumlah antara RM30,000 hingga RM50,000 bagi setiap trip penyeludupan yang dijalankan.

“Sejumlah wang tunai bernilai lebih RM63,000, beberapa bungkusan dadah, alat penimbang dan penyukat, minuman keras, dan senjata tiruan turut ditemukan di premis-premis serbuan dan kesemuanya disita,” katanya.

Menurut sumber, rangkaian penyeludupan membabitkan pegawai-pegawai kanan tentera ini adalah besar dan rumit untuk dibongkarkan.

Dalam pada itu, seorang wanita warga Indonesia yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah turut ditangkap semasa serbuan dijalankan, dan dipercayai menjadi wanita simpanan kepada salah seorang pegawai kanan tentera yang disyaki.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Beliau menegaskan bahawa tindakan operasi ini wajar diambil serius oleh semua pihak kerana ia membabitkan penyeludupan yang berupaya menjejaskan keselamatan negara.

“Walaupun kita mempunyai pelbagai agensi untuk memantau dan mengambil tindakan namun kegiatan penyeludupan tetap berlaku,” katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya esok untuk permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah. – 13 Ogos, 2025

Topics

 

◉ Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Short-lived La Niña expected in early 2026, but stable weather to follow

MetMalaysia forecasts cool conditions and brief shifts in rainfall patterns before returning to normal

OCM in the spotlight again: Skechers collab draws flak after brand linked to Israel

With shoe sponsorship amounting to almost RM200,000, Datuk Nazifuddin Najib says sports should be free from any agenda as the aim is to provide comfort to athletes

◉ Related