KUALA LUMPUR – Bekas naib presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker menegaskan retorik ‘berapi-api’ dan taktik Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh dalam kontroversi Jalur Gemilang boleh membunuh Barisan Nasional (BN) dan merosakkan Pakatan Harapan (PH).
Beliau berkata sandiwara Akmal tidak akan meraih lebih banyak undi Melayu untuk Umno, sebaliknya akan mengasingkan penyokong tradisional Cina dan India BN.
“Jika Umno tidak berbuat apa-apa atau terus menyokong Akmal, kerosakan tidak akan berhenti di MCA atau MIC. Umno akan membunuh BN dengan berkesan dan juga akan merosakkan Pakatan Harapan jika mereka dilihat bersama. Inilah sebabnya DAP cuba memisahkan dirinya daripada sandiwara Akmal,” katanya, lapor FMT.
Lian Ker berkata taktik Akmal adalah ‘ikut buku umno’, terutamanya dalam era pasca Tunku Abdul Rahman.
Baginya, cara terbaik untuk ahli Umno menjadikan diri mereka relevan, terutamanya dalam politik perkauman, adalah dengan menggunakan orang bukan Melayu sebagai ‘sasaran’, taktik yang menimbulkan persepsi bagus satu ketika dulu di mana lebih banyak pergantungan kepada Umno.
Tindakan Akmal yang seolah-olah menyifatkan pemilik kedai perkakasan sebagai ‘apek’ dengan cara merendah-rendahkan individu terbabit, memainkan peranan dalam naratif ketuanan Melayu, strategi yang diguna pakai oleh pemimpin Umno terdahulu.
“Taktik sedemikian mungkin memakan diri sekarang, terutama apabila orang ramai lebih progresif dan berpengetahuan luas. Pengundi hari ini bijak dan tidak akan menerima sandiwara seperti itu selain letih melihat tindakan berkenaan.
“Memalukan orang Cina atau menjadikan masyarakat sebagai sasaran tidak lagi berkesan seperti dahulu,” katanya lagi.
Bekas timbalan Menteri Perpaduan itu berkata taktik seperti itu juga tidak produktif, telah terbukti merugikan BN kerana gagal menarik pengundi yang disasarkan dan kehilangan penyokong tradisi gabungan itu.
Beliau berkata retorik sandiwara Akmal tidak akan membantu mereka memenangi lebih banyak undi Melayu, sebaliknya akan mengasingkan penyokong tradisional Cina dan India BN.
“Sebenarnya, pengundi Cina dan India yang menyokong MCA dan MIC kecewa dengan Umno kerana seolah-olah memberi Akmal carte blanche (kebebasan bertindak),” katanya, merujuk kepada rakan parti Akmal seperti Ahli Majlis Tertinggi Puad Zarkashi, yang mempertahankan tindakannya.
Baru-baru ini, Lian Ker yang dilaporkan memberitahu Malaysiakini bahawa PAS kelihatan lebih rasional dalam memberi respons terhadap kesilapan bendera itu, berkata adalah mustahil bagi komponen BN memulihkan kerosakan jika Umno gagal mengawal Akmal. – 18 Ogos, 2025
