HEADLINES

‘Tiada siapa akan dihalau keluar’: Kor Ming

RUU tersebut menetapkan prinsip jelas bahawa pemilik asal tidak akan dihalau keluar selepas kawasan kediaman mereka dibangunkan semula

10:23 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) digubal dengan tujuan utama menjaga kebajikan rakyat agar mereka tidak terus tinggal di bangunan usang dan daif, kata Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Beliua berkata, RUU tersebut menetapkan prinsip jelas bahawa pemilik asal tidak akan dihalau keluar selepas kawasan kediaman mereka dibangunkan semula.

Menurutnya, penduduk kekal layak mendiami kawasan sama kecuali mereka sendiri mahu berpindah ke lokasi lain.

“Prinsip kedua dalam RUU ini jelas, penduduk kekal di kawasan asal. Tiada siapa yang akan dihalau keluar malah mereka layak dapat unit kediaman baharu di tapak yang sama,” katanya pada sidang media khas berhubung Rang Undang-Undang (RUU) PSB, di sini baru-baru ini.

Kor Ming berkata, pampasan yang ditawarkan juga jauh lebih baik berbanding keadaan asal.

“Jika sebelum ini rumah hanya berkeluasan 500 kaki persegi dengan satu bilik dan satu bilik air, selepas pembaharuan minimum mereka dapat 750 kaki persegi dengan tiga bilik dan dua bilik air.

“Ini prinsip pampasan tidak kurang menguntungkan yang termaktub dalam seksyen 24 RUU PSB,” katanya, lapor Sinar Harian.

Menurut Kor Ming, ketetapan itu menggambarkan sifat manusiawi kerajaan Madani dalam melindungi rakyat.

“Kita tetapkan tiga bilik kerana satu untuk pasangan suami isteri, satu untuk anak lelaki dan satu untuk anak perempuan. Begitulah cara kita jaga rakyat,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan penempatan sementara yang disediakan juga kondusif dan tidak akan menyusahkan penduduk.

“Pemaju mesti bina satu blok sementara dahulu sebelum projek baharu dimulakan. Penduduk boleh pindah ke blok itu sehingga rumah baharu siap.

“Jika tidak mahu pindah ke blok sementara, pemaju diwajibkan beri subsidi sewa. Penduduk boleh pilih untuk tinggal di mana sahaja sementara menunggu rumah siap,” katanya.

Menurut Kor Ming, pilihan itu diberikan supaya rakyat bebas menentukan kediaman sementara tanpa sebarang tekanan.

“Penduduk boleh guna subsidi sewa itu untuk tinggal di tempat yang mereka rasa selesa. Apabila projek siap, mereka pindah balik ke unit baharu,” katanya.

Beliau menjelaskan, semua prinsip itu digubal untuk memastikan rakyat mendapat manfaat sebenar daripada RUU PSB.

“Undang-undang ini bukan untuk kayakan pemaju, tetapi untuk tingkatkan taraf hidup rakyat.

“Rumah lama ditukar kepada rumah baharu yang lebih bernilai,” tegasnya.

Kor Ming turut menolak dakwaan pembangkang kononnya pemilik akan kehilangan hak tanah mereka.

“RUU ini jelas lindungi pemilik asal. Pampasan diberi setimpal, unit baharu pula lebih besar dan lebih baik. Jadi apa sebab untuk bantah?” katanya.

Beliau menegaskan, kerajaan Madani tidak akan mengulangi kesilapan lalu apabila penduduk dipaksa pindah melalui Akta Pengambilan Tanah seperti berlaku pada Razak Mension.

“Kali ini kita pastikan persetujuan pemilik diutamakan. Selepas 80% bersetuju barulah rundingan bermula. Semua ini untuk melindungi rakyat,” katanya.

Dalam sidang media sama Kor Ming menjelaskan cadangan kawasan untuk dilaksanakan PSB yang kini dibangkitkan pihak tertentu sebenarnya telah diwartakan oleh kerajaan negeri termasuk negeri pembangkang.

“Sebanyak 534 kawasan di seluruh negara telah dikenal pasti dan diwartakan untuk tujuan PSB oleh kerajaan negeri masing-masing termasuk 22 tapak di Terengganu pada 2015 dan 55 tapak di Kedah pada 2018.

“Ini fakta, bukan cadangan kerajaan Persekutuan. Kuala Lumpur ada sebanyak 139 tapak, Kedah (55), Terengganu (22), Kelantan (empat), Selangor (72), Johor (36), Pahang (58), Pulau Pinang (lima), Perak (85), Negeri Sembilan (49) dan Melaka (sembilan) tapak dengan jumlah kesemuanya 534 tapak.

“Mereka yang wartakan dan setuju dahulu, tiba-tiba mereka pula yang bantah,” katanya. – 1 September, 2025

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Jangan buang kucing di pasar, hantar ke pusat perlindungan jalan terbaik

Tindakan itu juga satu kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Related