◉ HEADLINES

Perolehan aset pertahanan perlu telus, ikut keutamaan: PM

Perdana Menteri menegaskan amalan ‘menyakau’ dana perlu dihentikan, manakala pengurusan kewangan mesti dilaksanakan secara berhemah

10:28 AM MYT

 

SANDAKAN – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan proses perolehan aset pertahanan negara perlu dilaksanakan secara telus, bijak serta mengikut keutamaan dan keperluan sebenar.

Beliau berkata, turutan keutamaan dalam setiap perolehan mesti ditentukan berdasarkan keperluan semasa serta kepakaran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), dan bukannya diputuskan oleh ejen atau syarikat luar.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pendekatan yang tidak berpaksikan keperluan dan kepakaran sebelum ini telah menimbulkan pelbagai masalah, termasuk skandal besar perolehan kapal serta kelewatan projek pembinaan.

“Sistem perolehan ini mesti diperbetulkan. Bukan saya yang menentukan apa yang perlu dibeli, itu bidang kepakaran ATM. Namun, keutamaan perolehan mesti berdasarkan keperluan dan kepakaran, bukan ditentukan ejen, syarikat luar atau orang politik.

“Peruntukan tahun ini untuk Kementerian Pertahanan adalah yang tertinggi. Oleh itu, semua pihak bertanggungjawab memastikan perbelanjaan dibuat dengan telus, berhemah dan penuh tanggungjawab, kerana ia melibatkan wang rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Sarapan Mesra Wira Samudera di Markas Wilayah Laut 2, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Panglima Angkatan Tentera (PAT) Tan Sri Mohd Nizam Jaffar dan Timbalan Panglima TLDM Laksamana Madya Datuk Shamsuddin Ludin.

Perdana Menteri menegaskan amalan ‘menyakau’ dana perlu dihentikan, manakala pengurusan kewangan mesti dilaksanakan secara berhemah.

Beliau berkata, dalam soal keselamatan negara, tiada kompromi boleh dibuat dan kesiapsiagaan aset pertahanan perlu sentiasa berada pada tahap optimum.

“Kita mahu ATM kuat, dengan kapal baharu dan pesawat baharu. Saya tekankan ini bukan untuk berperang, tetapi bagi menjamin keselamatan negara. Demi usaha perdamaian, jika berlaku ketegangan, kita boleh segera bertindak, seperti yang terbukti menerusi kebijaksanaan ketenteraan kita dalam isu Thailand-Kemboja,” katanya.

Anwar berkata, kerajaan akan terus berusaha memartabatkan dan menghargai bidang pertahanan negara termasuk kebajikan anggota keselamatan.

Beliau menambah, sejak pentadbiran Kerajaan Madani, gaji penjawat awam berjaya dinaikkan dengan golongan pelaksana menerima kenaikan sehingga 15 peratus selepas hampir sedekad tiada semakan kadar gaji. – 27 September, 2025

Topics

 

◉ Hangat

[WATCH] ‘The perception exists, but it isn’t true’: Tengku Zafrul addresses ‘payung kuning’ narrative

Former Investment, Trade and Industry Minister dismisses claims that he acts as a royal intermediary for Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim, saying the long-standing 'payung kuning' perception does not reflect reality

[TONTON] ‘Persepsi itu wujud, tapi ia tidak benar’: Tengku Zafrul jawab naratif ‘payung kuning’

Bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri menepis dakwaan beliau bertindak sebagai orang tengah istana bagi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sambil menegaskan persepsi lama ‘payung kuning’ tidak mencerminkan realiti

Uthaya: compelling voice of those on the margins – Terence Netto

After two novels and dozens of short stories, writer Uthaya Sankar continues to portray life very much as it happens

◉ Related