Menerusi video yang sering diulang di media sosial, ketika kempen Pilihan Raya Umum 2008, ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada masa itu terkenal dengan kempen ‘hari ini menang, esok harga minyak turun’.
Ia menjadi sindiran yang menghantui Anwar selama bertahun-tahun, khususnya selepas beliau menjadi Perdana Menteri pada November 2022.
Pada Julai tahun ini, beliau mengakui kelewatan tersebut dan memohon maaf dengan alasan hutang negara yang tinggi serta cabaran ekonomi.
Isnin lalu, kurang tiga bulan sebelum ulang tahun ketiga pemerintahannya, mungkin atas kehendak politik yang kuat, kerajaan pimpinannya akhirnya menunaikan janji kempen itu.
Di bawah Budi Madani RON95 (Budi95), rakyat Malaysia boleh membeli maksimum 300 liter petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter, manakala selebihnya pada harga semasa RM2.05 seliter, sementara warga asing dikecualikan daripada program ini.
Dalam sebuah negara yang berpusatkan pengangkutan persendirian, bahan api merupakan salah satu keperluan harian. Ia juga merupakan antara isu yang sering dibangkitkan dalam wacana politik, khususnya apabila reformasi ekonomi berstruktur yang melibatkan subsidi dibincangkan.
Subsidi sebagai satu konsep adalah baik kerana ia membantu meringankan tekanan kos dan membolehkan rakyat menikmati manfaat daripada perbelanjaan kerajaan.
Namun ia turut membawa kesan yang mengelirukan kerana tidak menggambarkan kos sebenar sesuatu perkara, di samping bersifat tidak efisien dari sudut ekonomi.
Pertimbangkan situasi seorang graduan muda yang masih menetap bersama ibu bapanya. Dia menikmati kebanyakan perkara yang tidak mampu diperolehnya jika hidup sendirian, termasuklah tiga hidangan lengkap setiap hari, peti sejuk yang sentiasa penuh, baju dibasuh oleh ibunya, malah mungkin sebuah kereta dan sekali-sekala bercuti ke luar negara.
Subsidi yang dinikmatinya itu membuatkan dia tidak menyedari betapa gaya hidupnya itu akan terjejas jika hidup sendiri, dengan kos yang terpaksa ditanggungnya, sekiranya berbuat demikian.
Budi95 pada dasarnya umpama satu perjanjian ‘tinggal bersama ibu bapa’ di seluruh negara, bertujuan meringankan beban kos sara hidup rakyat. Strateginya adalah menetapkan harga di pam minyak, ibarat tinggal bersama ibu bapa, dengan dua matlamat utama iaitu merendahkan kos sara hidup dan mengawal inflasi.

Difahamkan, 300 liter sebulan sudah memadai untuk pemanduan harian sejauh 170km bagi pemandu Malaysia secara purata.
Penjimatan bulanan bagi pengguna biasa adalah antara RM183 hingga RM228, sekali gus mewakili pendapatan boleh guna baharu untuk dibelanjakan pada barangan dan perkhidmatan lain. Keadaan ini merangsangkan aktiviti ekonomi.
Terdapat hujah bahawa salah satu daripada potensi kesan negatif beberapa rancangan penstrukturan semula subsidi yang dirancang sebelum ini, yang menyasarkan segmen tertentu dalam populasi, ialah kemungkinan perniagaan mengambil kesempatan di atas apa apa kenaikan untuk menaikkan harga barang.
Pakar ekonomi berpendapat Budi95 mempunyai kesan yang “secara umum neutral terhadap inflasi” kepada ekonomi, tanpa kejutan ketara kepada Indeks Harga Pengguna, sebagai contoh.
Ia mengekalkan harga rendah untuk majoriti rakyat dengan menghapuskan kewujudan golongan yang mengambil kesempatan dan mengaut untung untuk menaikkan harga serta-merta selepas sesuatu perubahan dasar dijalankan.
Sebagai tambahan, terdapat cadangan bahawa 15 peratus teratas dari segi ekonomi mungkin perlu membayar lebih di pam pada peringkat seterusnya.
Walaupun golongan ini mampu, kurang terkesan dengan kenaikan harga, dan berkemungkinan menggunakan lebih sedikit Budi95, persoalannya ialah apakah mesej yang ingin disampaikan kerajaan kepada mereka, memandangkan mereka berkemungkinan besar merupakan penyumbang utama kepada hasil kerajaan dari segi cukai dan aktiviti perniagaan?
Mungkin ia akan menimbulkan lebih banyak masalah daripada manfaat.
Dengan menetapkan harga pam, kerajaan pada asasnya telah melindungi pengguna daripada turun naik harga minyak global. Jika peperangan dan kekacauan di dunia mencetuskan huru-hara dalam pasaran bahan api global, seperti yang sering berlaku, kita berkemungkinan menjadi sebuah “pulau tenang” dari segi harga bahan api.
Kestabilan harga ini akan membantu menghalang kos bahan api daripada menyumbang kepada tekanan inflasi yang lebih meluas dalam ekonomi.
Mengenai kritikan bahawa kos menstabilkan harga bahan api akan menyebabkan penggunaan dana yang tidak efisien, saya berpendapat usaha menangani inflasi akibat turun naik komoditi sepenting bahan api mungkin akan menelan kos yang jauh lebih besar dalam jangka panjang.
Bagaimanapun sekiranya harga berubah secara drastik dalam tempoh yang berpanjangan pada masa hadapan, sememangnya harus ada peluang untuk menyemak semula dan menetapkan harga baharu.
Subsidi bersasar Budi95, yang mengecualikan warga asing dan entiti komersial, dijangka menjimatkan antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion yang boleh disalurkan kepada program keselamatan sosial lain, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Rasionalisasi subsidi diesel sebelum ini, yang turut menyasarkan penyalahgunaan dan penyeludupan, juga berjaya dan dipercayai telah mencapai sasarannya untuk mengurangkan RM4 bilion setahun dalam bentuk subsidi.
Kesan pelbagai dimensi terhadap ekonomi, dengan menurunkan harga komoditi utama yang secara langsung menurunkan harga barangan lain dan membantu pengguna berjimat, berkemungkinan besar akan memberikan ganjaran politik kepada Anwar dan kerajaan Madani pimpinannya.
Ia turut melemahkan hujah lawannya dalam isu berkaitan kos sara hidup, dan ketika kita menghampiri beberapa pilihan raya negeri dalam bulan-bulan akan datang, serta pilihan raya umum dalam beberapa tahun lagi, Budi95 dijangka meletakkan gabungannya dalam kedudukan yang baik.
Sudah tentu terdapat cubaan untuk mencari kelemahan dalam program Budi95, tetapi sikap berdiam diri oleh pengkritik kebiasaan menunjukkan mereka mengetahui bahawa ia adalah program popular.
Barangkali, bagi Anwar, lebih baik lambat daripada tiada langsung. — 28 September 2025
Datuk Zainul Arifin ialah Ketua Pegawai Eksekutif Big Boom Media yang menerbitkan Scoop.my.

