◉ HEADLINES

‘Merdeka hancur jika lidah rakyat lebih bisa dari panah beracun’ : Sultan Nazrin

Rakyat tidak harus dijadikan mangsa persengketaan politik yang bagaikan tidak ada penghujungnya, sedangkan negara lebih memerlukan sumber tenaga

12:19 PM MYT

 

KUALA KANGSAR – Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah mengingatkan segala perbuatan yang berpotensi memecah belahkan perpaduan serta hubungan harmoni antara kaum wajib ditentang.

Ini kerana, titah baginda, usaha menyatukan penduduk akan berdepan halangan besar jika masih ada dalam kalangan rakyat yang memilih untuk mensensasikan isu kaum, agama, negeri dan wilayah.

“… pada waktu kita sepatutnya lebih memberi fokus untuk mematangkan kerjasama dan mengukuhkan persefahaman yang dirintis serta dibina oleh pemimpin terdahulu.

“Negara ini jangan dijadikan rumah sengketa, tempat berpesta insan yang mabuk kuasa. Merdeka itu akan hancur maknanya apabila lidah sebahagian rakyat bersifat lebih bisa daripada anak panah beracun, meracuni fikiran rakyat,” titah baginda, lapor Bernama.

Baginda bertitah demikian ketika berangkat ke Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-69 di Istana Iskandariah di sini , hari ini.

Keberangkatan baginda diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Turut berangkat Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak dan Tunku Soraya Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah

Dalam pada itu, Sultan Nazrin bertitah kemerdekaan bukan sekadar perayaan mengibarkan Jalur Gemilang, sebaliknya lambang maruah bangsa dan titik mula sebuah negara berdiri dengan kaki sendiri.

Malah kemerdekaan bukan sekadar bebas daripada penjajahan, tetapi turut memiliki kebebasan minda dan kematangan politik, serta kejayaan menumbuhkan ekonomi dan membangunkan negara.

Lebih utama, titah baginda, didukung oleh rakyat yang menghayati semangat satu warga.

“Malaysia yang bermula daripada penubuhan Persekutuan Tanah Melayu ialah negara yang termaktub dalam klausa Perlembagaan, mengiktiraf komposisi penduduknya terdiri daripada pelbagai kaum yang menganut pelbagai agama, mewarisi pelbagai budaya dan menguasai pelbagai bahasa,” titah baginda.

Amat merugikan, tegas baginda jika kelainan dan perbezaan dilihat dari sudut negatif yang sarat dengan prasangka buruk sehingga merosakkan hubungan harmoni sesama manusia serta menjejaskan paksi keseimbangan (the axis of equilibrium) dalam hubungan antara kaum dan agama.

Sultan Nazrin turut bertitah bahawa semangat permuafakatan yang diasaskan pemimpin terdahulu ketika membentuk negara merdeka perlu terus dihormati, dan sebarang suara atau tindakan yang bercanggah dengan semangat itu wajib ditentang.

Baginda bertitah, tindakan sesetengah pihak yang terlalu dipengaruhi emosi dibimbangi akan membawa kerugian besar kepada negara.

“Masih banyak perkara yang perlu dilakukan untuk membela nasib rakyat terutama dalam kalangan mereka yang hidup daif dalam kemiskinan.

“Rakyat tidak harus dijadikan mangsa persengketaan politik yang bagaikan tidak ada penghujungnya, sedangkan negara lebih memerlukan sumber tenaga dan kekayaan ditumpukan kepada kerja yang lebih produktif,” titah Sultan Nazrin. – 9 November, 2025

Topics

 

◉ Hangat

Melaka schools to reopen on Oct 12 as API readings fall below 100

Air quality readings at all three monitoring stations in the state remain in the moderate range, with parents advised to monitor their children's health

Schools may close if air quality worsens, five areas hit unhealthy levels: DOE

The department said the areas recorded unhealthy API readings, warns of RM1mil fine for open burning offenders

Four Malaysia Airlines flights cancelled, two more diverted amid heightened US-Iran tensions

Destinations involved were Doha and Jeddah following flight advisory on airspace risks, governments issue travel warnings to avoid Iran

◉ Related