KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menyerbu kediaman ahli perniagaan kontroversi Sabah, Albert Tei, demikian menurut peguamnya, Zaid Malek.
Zaid dalam satu kenyataan mendakwa pegawai SPRM dan polis yang berada di kediaman Tei tidak membenarkannya bertemu dengan ahli perniagaan itu.
Beliau turut berkongsi rakaman video memaparkan Tei diiringi anggota bersenjata yang lengkap memakai penutup muka (balaclava) dan ves SPRM.
Tegas Zaid, hak anak guamnya untuk mendapatkan khidmat peguam telah dinafikan dan ini adalah pelanggaran hak perlembagaan terhadap proses undang-undang yang adil.
Albert adalah seorang daripada tiga individu yang dipanggil SPRM untuk membantu siasatan berhubung klip video yang memaparkan perbualannya dengan seorang wanita, Sofia Rini Buyong.
Rini masih menjalani rakaman kenyataannya oleh SPRM. Beliau tiba di ibu pejabat SPRM di Putrajaya petang semalam.
Seorang lagi individu yang dijadualkan untuk dirakam kenyataannya hari ini ialah Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, bekas setiausaha politik kanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Difahamkan Shamsul pada awalnya dijadualkan memberi kenyataan semalam, tetapi beliau tidak dapat kembali tepat pada waktunya kerana masih ada urusan yang belum selesai di Sabah.
Dalam perkembangan terkini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan Albert kini sudah pulang ke kediamannya. Perkara itu turut disahkan peguamnya, Zaid.
Difahamkan dia diiring pulang ke kediamannya yang terletak di Puchong dekat sini dalam keadaan bergari untuk membantu siasatan.
Susulan itu, Azam akan mengeluarkan satu kenyataan selepas solat Jumaat ini berhubung penahanan Albert dan serbuan di kediamannya. – 28 November, 2025
