KUALA LUMPUR – Pembangkang hari ini mempersoalkan langkah kerajaan untuk membawa usul menggantung Ahli Parlimen Kota Bharu Datuk Seri Takiyuddin Hassan daripada sidang Dewan Rakyat selama enam bulan hanya kerana menuntut penjelasan prosedur operasi standard (SOP) berhubung agensi penguatkuasaan ala komando di rumah ibadat di masjid Rusila.
Menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, apa yang dibangkitkan oleh Takiyuddin yang juga Ketua Whip pada 22 Oktober lalu adalah supaya agensi kerajaan mempunyai SOP yang jelas.
Hamzah berkata, sebagai bekas Menteri Dalam Negeri, beliau menyokong apa yang dibangkitkan oleh Takiyudin supaya siasatan dijalankan berdasarkan laporan polis yang dibuat oleh jawatankuasa masjid berkenaan.
Beliau menyifatkan usul penggantungan itu sebagai satu agenda yang memalukan kerajaan.
“APMM sendiri minta maaf, selesailah. Menteri sendiri sebut move on. Yang saya marah ialah kenapa bawa usul untuk gantung MP Kota Bharu dan jawatankuasa pilihan selama enam bulan dari tarikh keputusan usul diluluskan.
“Masya Allah apa takut sangat dengan ketua WIP, saya tahu banyak undang-undang yang akan nak dibawa, mungkin penggal hadapan, jadi salah seorang lagi dah kurang, angka jumlah penyokong di sebelah kami,’’ katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Terdahulu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dijangka membawa usul menggantung Ahli Parlimen Kota Bharu Datuk Seri Takiyuddin Hassan daripada sidang Dewan Rakyat selama enam bulan kerana kenyataan yang mengaitkan agensi penguatkuasaan maritim dengan peristiwa Memali.
Menurut aturan urusan mesyuarat hari ini, menteri itu akan meminta Dewan memutuskan sama ada Takiyuddin patut digantung susulan kenyataan ketika perbahasan peringkat dasar Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 pada 22 Oktober.
Usul itu menyatakan bahawa Takiyuddin membandingkan insiden melibatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Masjid Rusila, Marang, Terengganu dengan peristiwa Memali 1985 dan mendakwa ia percubaan menakut-nakutkan rakyat.
Pada 22 Oktober lalu, Takiyuddin mendakwa, 10 hingga 15 lelaki dalam lima buah kereta telah ‘menyerbu’ Masjid Rusila dengan cara yang mencurigakan.
Beliau mendakwa, mereka bertindak tanpa kebenaran masjid dan mempersoalkan sama ada ia ulangan peristiwa Memali 1985.
Saifuddin menjelaskan perkara tersebut berpunca daripada salah faham yang telah diselesaikan oleh pihak berkuasa dan hanya enam anggota APMM singgah di masjid tersebut untuk menunaikan solat Asar semasa latihan.
Dalam pada itu, Takiyuddin turut mempersoalkan mengenai usul penggantungan itu dan sama ada motif lain di sebaliknya.
Beliau berkata, soal SOP pernah dibangkitkan sebelum ini melibatkan kehilangan Datin Pamela Ling yang dilaporkan hilang pada April lalu ketika dalam perjalanan ke pejabat Suruhanjaya Perkhidmatan Pencegahan Rasuah (SPRM).
“Sampai sekarang ni apa SOP, polis ataupun SPRM. Takkanlah depan pejabat SPRM tak ada CCTV, Putrajaya bukan Baling, bukan Sik bukan Jeli tetapi ini Putrajaya.
“Kita nak keadilan diberikan kepada orang-orang ini, jadi ini (berkaitan) SOP, buat satu latihan di masjid persendirian tanpa memaklumkan dulu kepada pihak pengurusan masjid adakah itu ikut prosedur.
“Tentu ini menimbulkan kegusaran, keresahan rakyat dan sebagainya.
“Menteri kata ok settle (selesai), we move on, tak ada lagi perkara ini dah selesai, tiba-tiba datang ni (usul penggantungan) apa muslihat di sebaliknya, apa rahsia anda untuk menyekat saya enam bulan daripada menghadiri Parlimen,’’ katanya. – 3 Disember, 2025

