◉ HEADLINES

Gagal tepati sasaran Sukan SEA: ‘ia bukan kegagalan individu tapi tanggungjawab bersama’ – Zafrul

BAM masih memerlukan Rexy dan apa yang berlaku bukan kegagalan individu sebaliknya tanggungjawab bersama, kata Zafrul

12:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengakui kelemahan dan menerima hakikat kegagalan Malaysia merealisasikan sasaran empat pingat emas dalam Sukan SEA Thailand 2025.

Sambil menyifatkan Sukan SEA 2025 bukan pentas yang mudah, Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, dalam sukan, keputusan di gelanggang tidak boleh disorok malah ia menuntut kejujuran, keberanian dan tanggungjawab bersama.

Namun Tengku Zafrul berkata, walaupun sasaran emas tidak dicapai, skuad negara sebaliknya menunjukkan kemajuan positif dengan meraih sembilan pingat, melepasi sasaran awal tujuh pingat dan lebih bermakna apabila Malaysia meraih pingat perseorangan wanita, pencapaian pertama sejak enam tahun lalu.

Keadaan ini, katanya, membuktikan pembangunan bakat berada pada trajektori yang betul.

“Apa yang berlaku bukan kegagalan individu sebaliknya ini tanggungjawab bersama iaitu pemain, kejurulatihan, pengurusan dan kepimpinan.

“Kita menang sebagai satu pasukan, apabila tewas, kita juga bertanggungjawab bersama.

“Saya menghargai keterbukaan Rexy, dan pendirian saya jelas: kita masih memerlukan beliau kerana pengalaman dan falsafah pembangunan tidak boleh diukur dengan satu kejohanan,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada Ahad, Pengarah Kejurulatihan Beregu BAM, Rexy Mainaky mengambil tanggungjawab termasuk melepaskan jawatan sekiranya menerima desakan daripada mana-mana pihak selepas gagal membantu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membawa pulang empat pingat emas pada temasya Sukan SEA di Thailand, meskipun menurunkan skuad terbaik kali ini.

Skuad badminton negara hanya memperoleh satu pingat emas dalam acara beregu wanita menerusi Pearly Tan-M Thinaah yang menewaskan wakil Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari.

Pasukan badminton negara menamatkan kempen Sukan SEA Thailand 2025 dengan satu emas, dua perak dan enam gangsa.

Menurut Zafrul, satu kegagalan tidak menafikan kejayaan besar tahun ini apabila Malaysia muncul juara dunia beregu campuran, dan buat pertama kali beregu wanita mara ke final Kejohanan Dunia, iaitu pencapaian yang mengangkat martabat pemain negara.

“Sukan SEA memberi pengajaran berharga. Kita akan belajar, memperbaiki kelemahan dan bangkit lebih matang. Ini bukan noktah, tetapi batu loncatan.

“Sebagai Presiden BAM, komitmen saya kekal: membina badminton Malaysia atas asas kukuh dan kejayaan jangka panjang. Perjalanan ini belum selesai. Kita akan terus melangkah bersama,’’ katanya. – 15 Disember, 2025

Topics

 

◉ Popular

[WATCH] ‘The perception exists, but it isn’t true’: Tengku Zafrul addresses ‘payung kuning’ narrative

Former Investment, Trade and Industry Minister dismisses claims that he acts as a royal intermediary for Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim, saying the long-standing 'payung kuning' perception does not reflect reality

[TONTON] ‘Persepsi itu wujud, tapi ia tidak benar’: Tengku Zafrul jawab naratif ‘payung kuning’

Bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri menepis dakwaan beliau bertindak sebagai orang tengah istana bagi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sambil menegaskan persepsi lama ‘payung kuning’ tidak mencerminkan realiti

Uthaya: compelling voice of those on the margins – Terence Netto

After two novels and dozens of short stories, writer Uthaya Sankar continues to portray life very much as it happens

◉ Related