HEADLINES

Kerajaan tetap harga siling rumah mampu milik RM300,000

Aiman Athirah berkata ia disokong pemetaan harga mengikut negeri serta sistem pemantauan projek perumahan bagi memastikan akses saksama kepada kediaman

4:48 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Penetapan harga siling rumah mampu milik pada kadar RM300,000 di bawah Dasar Perumahan Mampu Milik Negara menjadi antara tiga inisiatif utama Kerajaan dalam usaha memastikan rakyat mempunya akses dan peluang yang saksama.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata selain itu, kementerian turut melaksanakan pemetaan harga rumah mampu milik bagi memastikan harga ditetapkan selaras dengan kemampuan rakyat setempat.

“(Kerajaan) melaksanakan pemetaan harga rumah mampu milik berdasarkan pendapatan median mengikut negeri dan daerah hasil daripada Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah pada 2024. 

“Pemetaan ini menjadi rujukan bagi penetapan harga rumah di satu-satu lokaliti dan boleh diakses di papan pemuka maklumat rumah mampu milik di laman web Malaysian Urban Observatory (MUO),” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini. 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan asal Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) mengenai langkah kerajaan dalam mengawal kenaikan mendadak harga rumah pada ketika ini yang membebankan pembeli rumah pertama.

Aiman Athirah berkata kementerian turut memperketat pemantauan pemajuan perumahan menerusi pelaksanaan Sistem Pengurusan Perumahan Bersepadu (HIMS) yang memproses sepenuhnya permohonan lesen pemajuan perumahan serta permit iklan dan jualan secara dalam talian.

Beliau berkata sistem itu menjadi mekanisme utama pengumpulan data perumahan untuk tujuan pengurusan, pemantauan dan pelaporan, selain membolehkan intervensi awal dilaksanakan terhadap projek yang lewat atau berisiko.

Selain itu, beliau berkata menurut laporan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), harga rumah di Malaysia menunjukkan trend peningkatan apabila Indeks Harga Rumah Malaysia bagi separuh pertama 2025 mencatatkan 227.3 mata dengan harga purata RM490,376 seunit. 

Pada masa sama, kerajaan turut memperkukuh usaha membantu pembeli rumah pertama memiliki kediaman sendiri menerusi Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) yang menyediakan jaminan pembiayaan sehingga RM500,000, khususnya kepada golongan B40 dan M40 termasuk individu berpendapatan tidak tetap.

Beliau berkata SJKP juga menawarkan pinjaman perumahan sehingga 120 peratus kepada pembeli rumah pertama, selain menyediakan skim step-up financing yang membolehkan kadar faedah meningkat secara berperingkat mengikut keupayaan peningkatan pendapatan peminjam. – 27 Januari, 2026

Topics

 

Hangat

Jangan buang kucing di pasar, hantar ke pusat perlindungan jalan terbaik

Tindakan itu juga satu kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Court orders MYAirline co-founder to repay over RM8mil to investors

Datuk Allan Goh and four associated companies are directed to return funds after failing to meet financial obligations to 15 investors

Related