HEADLINES

MM2H tidak tawar kewarganegaraan, 744 peserta beli rumah di Malaysia

Datuk Seri Tiong King Sing menegaskan program MM2H hanya pas lawatan sosial jangka panjang, bukan laluan kepada kewarganegaraan atau PR, meskipun ratusan peserta telah membeli rumah di Malaysia

1:55 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Program Malaysia My Second Home (MM2H) tidak pernah menawarkan kewarganegaraan atau status pemastautin tetap (PR) kepada peserta, tegas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing di Dewan Rakyat hari ini.

“Program MM2H adalah pas lawatan sosial jangka panjang yang disertakan dengan kemudahan visa masuk berulang untuk membolehkan warga asing menetap di Malaysia bagi tempoh antara lima hingga 20 tahun, meliputi empat kategori utama iaitu Platinum (20 tahun), Gold (15 tahun), Silver (lima tahun) dan Zon Ekonomi Khas (10 tahun).

Tempoh pengendorsan pas bagi semua kategori adalah lima tahun bagi setiap sesi dan peserta boleh memperbaharui sehingga tamat tempoh kategori masing-masing. Peserta juga dibenarkan membuat lanjutan setiap lima tahun sekiranya masih berminat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (PN–Dungun) yang meminta penjelasan mengenai jumlah rumah yang telah dijual kepada warga asing melalui MM2H sejak 2023 hingga 2025 serta status kewarganegaraan mereka.

Tiong menjelaskan, sehingga 31 Disember 2025, seramai 744 peserta MM2H telah membeli rumah di Malaysia, dengan warga China mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak 304 orang, diikuti Taiwan (91), Singapura (63), Amerika Syarikat (41), United Kingdom (40), Hong Kong (34), Australia (29), Bangladesh (19), Korea Selatan (15) serta Indonesia dan Jepun masing-masing 14 orang.

“Sebanyak 2,637 peserta MM2H lagi masih dalam proses pembelian rumah termasuk memuktamadkan perjanjian jual beli dan mengenal pasti lokasi rumah yang sesuai,” katanya.

Beliau menambah, program MM2H terbuka kepada pemohon dari seluruh dunia dan tidak terhad kepada negara tertentu. Walaupun penyertaan dari Timur Tengah dibenarkan, jumlah permohonan dari rantau itu masih kecil.

Sehubungan itu, Tiong berkata kementeriannya akan mempergiat usaha promosi dan penjenamaan MM2H di lebih banyak negara, khususnya di Timur Tengah, bagi memperluas penyertaan antarabangsa. – 4 Februari, 2026

Topics

 

Hangat

Jana Wibawa: Muhyiddin’s trial continues as appeals court rejects bid to reinstate acquittal

Five-judge panel dismisses Bersatu president’s application to review findings which led to four charges related to RM232.5 mil in bribes being reinstated in Feb

‘We’re compliant’: ECRL assures public of environmental standards in Selangor project

DoE approval confirms adherence to environmental guidelines amid excavation of Gombak Tunnel

Months after Onew fan meet collapse, organiser admits refunds remain under 50%

Fans demand accountability as MND Sport & Event faces mounting backlash over unfulfilled refund promises

Related