HEADLINES

Hentikan naratif ‘kuil haram’ demi keharmonian negara dan penyelesaian kekal – Malaysia Hindu Sangam

Tidak tepat untuk menyamakan isu status tanah dengan dakwaan kuil haram; punca masalah sebenarnya melibat ketidakseimbangan undang-undang, dań isu pertukaran pemilikan tanah

2:50 PM MYT

 

MALAYSIA Hindu Sangam (MHS) memandang serius peningkatan kenyataan, provokasi dan demonstrasi oleh pihak-pihak tertentu termasuk NGO dan ahli politik yang melabel kuil Hindu sebagai “haram” atau “tidak sah”. 

Naratif ini semakin membimbangkan dan telah mencetuskan ketegangan agama serta perkauman antara masyarakat India dan Melayu, sesuatu yang bertentangan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan dan keharmonian negara. Keadaan ini mesti dihentikan serta-merta. 

Kuil bukan “haram” hanya kerana isu pemilikan tanah 

Adalah tidak tepat dan mengelirukan untuk menyamakan isu status tanah dengan dakwaan kuil haram. 

Hakikat sejarah yang tidak boleh dinafikan ialah: Sebahagian besar kuil Hindu di Malaysia didirikan puluhan atau ratusan tahun lalu di kawasan estet, ladang, penempatan pekerja dan kampung lama untuk memenuhi keperluan rohani komuniti setempat. 

Apabila berlaku proses pembangunan dan pembandaran, tanah-tanah ini telah dijual atau bertukar milik. Dalam banyak kes, pemilik baharu membenarkan kuil terus beroperasi atas dasar persefahaman, walaupun tanpa perjanjian bertulis.  Situasi ini berlaku bukan kerana kecuaian pihak kuil, tetapi kerana ketiadaan dasar dan mekanisme kerajaan yang jelas dan menyeluruh bagi melindungi rumah ibadat Hindu sejak sekian lama. 

Peruntukan undang-undang dan ketidakseimbangan perlindungan 

Perlembagaan Persekutuan Perkara 11(1) dengan jelas menjamin kebebasan beragama, termasuk Hak untuk mengamalkan dan mengurus hal ehwal agama masing-masing.  Namun, dari sudut pentadbiran tanah dan perlindungan undang-undang, masjid dan tanah wakaf berada di bawah bidang kuasa Majlis Agama Islam Negeri dan dilindungi melalui undang-undang negeri berkaitan wakaf. 

Gereja dan rumah ibadat agama lain lazimnya diberikan status rizab, pajakan jangka panjang atau pewartaan rasmi oleh pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri. 

Kuil Hindu pula tidak pernah diberikan perlindungan sistematik yang setara, menyebabkan banyak kuil berada dalam kedudukan yang tidak menentu dari segi status tanah. 

Maka persoalan yang wajar ditanya ialah: adakah ini kesalahan kuil, atau kegagalan dasar pentadbiran selama beberapa dekad? 

Punca sebenar ketegangan: kegagalan tadbir urus, bukan agama 

MHS menegaskan bahawa isu ini bukan konflik agama, tetapi isu tadbir urus dan dasar awam yang tidak diselesaikan secara tuntas oleh kerajaan terdahulu dan semasa.

Melabel kuil sebagai “haram” mengapi-apikan sentimen awam dan mencetuskan tekanan jalanan, tidak menyelesaikan masalah, menjejaskan perpaduan nasional dan bertentangan dengan prinsip keadilan dan kesaksamaan.

Cadangan penyelesaian telah dikemukakan – tetapi tergendala

Pada 6 April 2025, dalam sesi Townhall Kuil anjuran MHS, satu memorandum rasmi telah diserahkan kepada wakil Pejabat Perdana Menteri (PMO) bagi mencadangkan penubuhan Badan Kawal Selia Kuil di bawah penyeliaan MHS dan NGO Hindu utama.

Antara peranan utama badan ini ialah:  

-Menyemak dan mengesahkan status tanah kuil;
-Memulakan proses pembelian, pajakan atau pewartaan tanah ; dan,

-Menjadi penghubung rasmi antara kuil, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan 

Walaupun beberapa mesyuarat awal telah diadakan, tiada kemajuan lanjut direalisasikan, dan kelewatan inilah yang akhirnya menyumbang kepada ketegangan kaum yang kita saksikan hari ini. 

Seruan kepada kepimpinan negara 

Sebagai langkah penyelesaian, MHS menggesa YAB Perdana Menteri, Menteri- 

Menteri India dalam Kabinet, Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan untuk bertindak segera dan tegas bagi: 

-Melindungi kuil-kuil yang mempunyai nilai sejarah dan warisan;

-Pada masa yang sama, menegakkan undang-undang tanah secara adil dan berperikemanusiaan; dan,
-Melaksanakan penyelesaian menang-menang yang kekal dan berstruktur.

Malaysia dibina atas kepelbagaian dan saling menghormati. Isu kuil tidak boleh terus dipolitikkan atau dieksploitasi demi kepentingan sempit.

MHS menyeru semua pihak supaya menghentikan segera retorik berbahaya ini dan kembali ke meja rundingan dengan niat untuk menyelesaikan masalah secara matang, berperlembagaan dan berteraskan keadilan sosial.

Penyelesaian kekal wujud — jika ada kemahuan politik dan keikhlasan untuk bertindak. – Februari 6, 2026

Kenyataan ini dikeluarkan oleh Presiden MHS, Ganesan Thangavelu.

Topics

 

Popular

Agong’s warning on ‘flying coffins’: A look back at Malaysia’s Skyhawk jet fiasco – A. Azim Idris

Sultan Ibrahim highlighted the costly A-4 Skyhawk deal as a lesson in scrapping the procurement of 30-year-old Black Hawk choppers, urging Malaysia to avoid past failures in defence strategies

Malaysia to present provisional 38-sport list for 2027 SEA Games after taking SEAGF chair

Officials said Malaysia, as custodian of regional multi-sport events, aims to protect the interests of participating countries while finalising the 2027 sports roster

Ex-national basketball player arrested for alleged sexual harassment against students

Cheras top cop confirms source's claims, says 36-year-old suspect also has multiple simillar reports lodged against him before; source questions why MoE allowed him to teach

Related