KUALA LUMPUR – Bersatu Johor mendesak Lembaga Disiplin parti berkenaan supaya memecat Datuk Seri Hamzah Zainudin dan akan mengemukakan memorandum rasmi berhubung perkara berkenaan kepada presiden parti dan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.
Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, memorandum tersebut bertujuan mendesak agar tindakan disiplin yang tegas, adil dan muktamad diambil terhadap Hamzah yang juga Timbalan Presiden Bersatu serta mana-mana individu yang secara berterusan melanggar Perlembagaan Parti dan mencabar keputusan parti.
Jelasnya, sejak beberapa bulan kebelakangan ini, tindakan dan kenyataan oleh pihak-pihak tertentu yang berkait rapat dengan Hamzah jelas mencabar autoriti parti dan mencetuskan ketidakharmonian dalaman.
“Keadaan ini tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana ia akan menjejaskan kestabilan serta kesiapsiagaan parti menghadapi cabaran politik yang mendatang.
“Saya juga ingin memaklumkan bahawa BPN Johor bersama Ketua Bahagian Bersatu Negeri Johor, selari dengan pendirian kepimpinan di beberapa negeri lain, telah mencapai ketetapan untuk mengemukakan satu memorandum rasmi kepada Presiden parti dan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu untuk mendesak Lembaga Disiplin memecat Datuk Seri Hamzah Zainudin.
“BPN Johor ingin menegaskan bahawa tiada mana-mana individu berada di atas Perlembagaan Parti, dan kelangsungan Bersatu hanya dapat dipertahankan sekiranya disiplin ditegakkan, kesatuan dipelihara dan kepimpinan Presiden terus diperkukuhkan,’’ katanya dalam kenyataan.
Semalam sebanyak 14 ketua bahagian Bersatu Johor mengisytiharkan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin berikutan kegagalan menguruskan krisis dalaman parti.
Menurut ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai, Musa Khamis ia juga susulan dakwaan penyalahgunaan prosedur disiplin terhadap pimpinan utama.
Mengulas mengenainya, Sahruddin berkata, BPN Johor menafikan secara tegas dakwaan sesetengah Ketua Bahagian bahawa kepimpinan Bersatu Johor telah hilang keyakinan terhadap Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Saya ingin menegaskan bahawa dakwaan tersebut adalah tidak benar, mengelirukan dan tidak mendapat sebarang mandat daripada BPN Johor mahupun majoriti Ketua-Ketua Bahagian Bersatu di negeri ini.
“Kenyataan mereka adalah pendirian peribadi beliau dan sama sekali tidak mewakili pendirian rasmi BPN Johor,’’ katanya.
BPN Johor, ujar beliau kekal memberikan sokongan penuh dan tidak berbelah bahagi kepada Presiden parti dan kepimpinan Presiden adalah tonggak kestabilan parti serta sebarang cubaan untuk menimbulkan persepsi sebaliknya hanya akan melemahkan organisasi serta mengelirukan ahli di peringkat akar umbi.
“Sehubungan itu, BPN Johor mendesak Lembaga Disiplin Bersatu supaya segera mengambil tindakan tegas terhadap Timbalan Presiden Bersatu serta mana-mana penyokongnya yang didapati berulang kali mengeluarkan kenyataan terbuka dan melakukan tindakan yang bercanggah dengan Perlembagaan Parti, keputusan Majlis Pimpinan Tertinggi serta disiplin organisasi,’’ katanya.
Terdahulu, Hamzah yang dijadualkan mengadap Lembaga Disiplin Bersatu esok dilaporkan tidak dapat menghadirinya, kerana berada di luar negara.
Hamzah dilaporkan berada di Sydney, Australia, untuk membantu anak perempuannya mendaftar di universiti. – 11 Februari, 2026

