KUALA LUMPUR – Notis Kesan Individu dikeluarkan terhadap empat anak Allahyarham Tun Daim Zainuddin berikutan kegagalan individu terbabit memberi maklum balas dan ketidakpatuhan terhadap dua notis rasmi yang telah diserahkan sebelum ini.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataannya berkata, pihaknya mengeluarkan notis berkenaan sebagai tindakan susulan yang sah di sisi undang-undang.
“SPRM ingin menegaskan bahawa Notis Kesan Individu bukan satu bentuk hukuman atau ‘Wanted List’ dan notis itu juga bukan bertujuan untuk memalukan mana-mana pihak, sebaliknya merupakan mekanisme prosedural bagi mengesan dan memastikan kehadiran membantu siasatan,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada Jumaat, peguam Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh yang mewakili Amir Daim Zainuddin dan Amin Daim Zainuddin menyifatkan tindakan SPRM menyiarkan nama, gambar serta alamat kediaman anak guan mereka secara terbuka adalah melulu dan tidak wajar.
Malah tindakan itu juga disifatkan mereka sebagai berniat jahat dan menimbulkan persepsi seolah-olah mereka gagal dikesan pihak berkuasa.
Sementara itu, SPRM berkata, pada 13 Februari 2026, Notis Menghadiri Pemeriksaan di bawah Seksyen 30(1)(a) Akta SPRM 2009 telah diserahkan melalui firma guaman Zhafri Nizamuddin.
SPRM juga, katanya, menerima permohonan lanjutan masa daripada pihak peguam pada 16 Februari lalu dan sehubungan itu, SPRM telah memberi kata putus untuk penama-penama hadir ke pejabat badan berkenaan pada 1 Mac 2026.
“Namun sehingga 26 Februari 2026, tiada maklum balas diterima dan usaha menghubungi penama juga tidak berjaya.
“Pihak peguam sebelum ini memaklumkan anak guam mereka berada di luar negara dan mereka juga menghadapi masalah untuk berhubung dengan mereka,’’ katanya.
Berdasarkan maklumat terkini, SPRM percaya tiga individu berada di luar negara manakala seorang lagi berada dalam negara.
Menurut SPRM, pada 20 November 2025, enam laporan baharu dibuka di bawah Seksyen 36(1)(b), Akta SPRM 2009 terhadap beberapa individu susulan maklumat tambahan daripada agensi penguatkuasaan luar negara termasuk United Kingdom, Amerika Syarikat dan Singapura.
Hasil siasatan, katanya, mendapati individu-individu tersebut gagal mematuhi sepenuhnya keperluan notis, termasuk ketidakpatuhan dalam mengisytiharkan aset bernilai tinggi serta akaun bank.
“Enam kertas siasatan telah dibuka terhadap Na’imah Abdul Khalid, Josephine Prema Sivaretnam dan empat anak Allahyarham Tun Daim iaitu Asnida, Md Wira Dani, Muhammed Amir Zainuddin dan Muhammed Amin Zainuddin,’’ katanya.
Semalam, SPRM memaklumkan sedang mengesan empat anak Allahyarham Daim bagi membantu siasatan satu kes dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu.
Terdahulu, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban memaklumkan tiga anak bekas Menteri Kewangan yang dikehendaki SPRM itu sedang berada di luar negara.
Memetik laporan Bernama, Zakaria berkata rekod Jabatan Imigresen (JIM) menunjukkan ketiga-tiga mereka dikesan keluar dari negara ini pada hujung Januari dan awal bulan ini. – 28 Februari, 2026
