KUALA LUMPUR – Pemeriksaan yang dijalankan polis mendapati penceramah bebas Zamri Vinoth dan aktivis Tamim Dahri dikesan keluar dari negara ini melalui jalan sah ke Thailand.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata, berikutan itu, polis sedang giat menjejaki kedua-dua individu terbabit bagi membawa mereka pulang untuk menghadapi pertuduhan di mahkamah.
Menurutnya, pegawai perhubungan keselamatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Thailand sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand bagi mengesan kedua-duanya.
“PDRM sedang menggunakan peruntukan undang-undang yang ada bagi membawa pulang mereka untuk dituduh,” katanya, lapor Bernama.
Terdahulu, menerusi hantaran di Facebook, Zamri Vinoth menafikan laporan beliau melarikan diri ke luar negara susulan tuduhan yang mengaitkannya dengan hasutan keganasan.
Menurut Zamri, tiada alasan untuknya melarikan diri dan menyatakan kesediaan untuk bertemu Ketua Polis Negara (KPN) bagi menjelaskan perkara itu.
Sebelum ini, polis melaporkan bahawa Zamri dan aktivis Tamim Dahri, kedua-duanya yang sedang disiasat bagi kes berasingan, dilaporkan melarikan diri ke Thailand.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail mengesahkan usaha sedang dijalankan untuk mengesan kedua-dua mereka dengan sokongan pihak berkuasa Thailand.
Zamri disiasat berhubung kenyataan yang dibuatnya pada perhimpunan di Kuala Lumpur pada 7 Februari. Kes ini telah dirujuk ke Pejabat Peguam Negara, dengan kemungkinan pertuduhan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan bagi kenyataan yang bertujuan menimbulkan kekacauan dan ketakutan awam.
Satu lagi siasatan berhubung kenyataan Zamri yang didakwa bersifat menghina kaum terhadap komuniti India telah dihantar ke Pejabat Pendakwaan Pulau Pinang, yang mungkin mengemukakan pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.
Kes Tamim pula berhubung dakwaan merosakkan soolam yang menjadi simbol suci bagi agama Hindu di tapak lama kuil di Langkawi, Kedah. Ia telah dirujuk ke Pejabat Pendakwaan Kedah dan arahan pertuduhan di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan.
Mohd Khalid Ismail berkata pertuduhan rasmi akan difailkan sebaik sahaja kedua-dua Zamri dan Tamim ditemui dan dibawa pulang ke Malaysia. – 14 Mac, 2026
