HEADLINES

Empat aktivis termasuk Zamri Vinoth didakwa hari ini berkait kes provokasi agama

Zamri bersama tiga lagi individu berdepan pertuduhan di mahkamah berasingan, susulan perhimpunan kontroversi di ibu negara pada Februari lalu

8:34 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Penyelaras Himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH), Zamri Vinoth, akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pagi ini berhubung perhimpunan yang dianjurkan di hadapan kompleks beli-belah Sogo pada 7 Februari lalu.

Pertuduhan dijadualkan dibacakan di hadapan Majistret Faezahnoor Hassan pada jam 9 pagi. Peguam yang mewakili Zamri, Mohamed Haniff Khatri Abdulla, ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Siasatan terhadap penceramah bebas itu sebelum ini telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

“Arahan tuduh adalah di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan atau mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam,” kata Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.

Beliau turut mengesahkan empat individu akan didakwa hari ini berkaitan kes provokasi agama, iaitu Zamri Vinoth, aktivis Arun Dorasamy, Tamim Dahri dan P. Mahendra Boopathy. Zamri akan dituduh di Kuala Lumpur, Tamim di Mahkamah Majistret Langkawi, Mahendra di Mahkamah Majistret Seremban, manakala Arun di Mahkamah Majistret Jawi, Pulau Pinang.

Tamim Dahri yang juga seorang aktivis akan berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana didakwa merosakkan objek soolam, simbol suci penganut Hindu di tapak lama Kuil Sri Maha Muniswarar, Langkawi. Sementara itu, Mahendra akan dituduh atas kesalahan membuat hantaran berniat jahat terhadap Masjid Jamek Dato Bandar Haji Ahmad Shah di Seremban, yang ditohmah sebagai masjid haram.

Mengulas mengenai Arun Dorasamy, Mohd Khalid berkata siasatan terhadap Arun berhubung kenyataan mengajak persatuan Hindu Ani Malaysia mengadakan protes jalanan sekiranya tiada tindakan diambil terhadap Zamri Vinoth.

Kesemua pertuduhan ini berpunca daripada perhimpunan di ibu negara pada 7 Februari lalu yang mencetuskan kontroversi dan siasatan pihak berkuasa.

Arahan pertuduhan dikeluarkan selepas AGC meneliti kenyataan serta tindakan yang didakwa berunsur provokasi agama dan berpotensi menimbulkan kegentaran awam. – 17 Mac, 2026

Topics

 

Hangat

Tell agencies to stop using ‘kuil haram’ term, Saravanan urges Anwar

MIC leader says term is hurtful and historically inaccurate, calls for respect towards Hindu places of worship

UNHCR resettlement performance too low, contributing to refugee backlog: Saifuddin

Home Minister calls public concerns valid, says imbalance affects national security and social management

Short-lived La Niña expected in early 2026, but stable weather to follow

MetMalaysia forecasts cool conditions and brief shifts in rainfall patterns before returning to normal

Related