KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh menafikan dakwaan partinya bekerjasama dengan PN untuk menubuhkan ‘kerajaan pintu belakang’ atau ‘tebuk atap’ di Negeri Sembilan.
“Saya kekal dengan prinsip saya sejak dari dulu lagi, untuk Umno tarik sokongan dari kerajaan perpaduan dan jadi pembangkang yang bermaruah ataupun kita hadapi pilihan raya bukan dengan cara menubuhkan kerajaan secara tebuk atap,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Akmal menegaskan tindakan Umno tarik sokongan daripada Kerajaan Perpaduan bukan untuk “menebuk atap dan gila jawatan,” tetapi kerana tidak bersetuju dengan apa yang dilakukan oleh PH.
“Apabila Adun-Adun PN boleh menyatakan sokongan kepada BN di Negeri Sembilan ini menunjukkan perkembangan yang baik untuk parti-parti Melayu ini boleh duduk bersama.
“Tetapi duduk bersama bukan menebuk atap, tetapi saya mengajak untuk sama-sama kita bekerjasama dalam pilihan raya seperti mana pendirian saya…sebelum ini untuk saya melihat kerjasama Umno dan PAS itu berlaku,” jelas Akmal.
“Sebab itu saya nyatakan sebelum ini tarik sokongan dan jadi pembangkang yang bermaruah.
“Jika menarik sokongan dan kerajaan tumbang maka kita harus melalui proses pilihan raya untuk kita serahkan semula kepada rakyat,” katanya lagi.
Terdahulu, bekas Menteri Undang-Undang Datuk Zaid Ibrahim membidas Akmal kerana pemahaman yang lemah terhadap asas demokrasi berparlimen apabila menolak penubuhan kerajaan ‘tebuk atap’.
“Bro, apabila seorang menteri besar atau perdana menteri kehilangan sokongan majoriti, dia perlu meletak jawatan.
“Tiada apa-apa yang bersifat pintu belakang tentang perkara itu. Begitulah cara sistem Westminster berfungsi.
“Jika menteri besar masih merasakan dia mempunyai mandat, dia boleh memohon pembubaran dewan.
“Dia tidak sepatutnya terus bergantung kepada pihak lain,” ujar Zaid.
Semalam, 14 Adun BN/Umno menarik sokongan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.
PN kemudian mengumumkan sedia bekerjasama dengan Umno melalui surat yang diserahkan kepada wakil parti itu dalam satu majlis tergempar semalam.
Untuk rekod, PN mempunyai tiga Adun daripada PAS iaitu Kamarol Ridzuan Mohd Zain (Paroi), Abdul Fatah Zakaria (Bagan Pinang) dan Mohd Fairuz Mohd Isa (Serting).
Dua lagi Adun PN ialah wakil Bersatu iaitu Mohamad Hanifah Abu Baker (Labu) dan Ridzuan Ahmad (Gemas).
Dalam perkembangan berkaitan Aminuddin bertegas akan terus berkhidmat seperti biasa selaku Menteri Besar, sehingga kemelut itu usai sepenuhnya.
Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, berkemungkinan Negeri Sembilan tidak mengadakan pilihan raya ketika negeri berdepan kemelut pemerintahan.
Pun begitu, pengerusi PH itu menjelaskan ia bergantung kepada keputusan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir serta persidangan dewan undangan negeri (DUN). – 28 April, 2026
