◉ HEADLINES

Isu Petros-Petronas: Mampukah penyelesaian menang-menang dicapai? – Zainul Arifin

Keputusan ‘zero-sum’ di mana pemenang mengaut segala-galanya hanya akan memastikan semua pihak akhirnya rugi

11:31 AM MYT

 

PERBICARAAN yang sedang berlangsung, juga dijangka menjadi kes pengintipan korporat paling berprofil tinggi di Malaysia, mungkin pemangkin untuk segera menyelesaikan kemelut undang-undang antara Petronas serta syarikat minyak dan gas milik Sarawak, Petros, selain ketegangan antara Putrajaya dan Kuching berhubung isu minyak dan gas di negeri itu.

Dakwaan bahawa rahsia perniagaan Petronas dibocorkan kepada Petros ketika rundingan hanya membayangkan wujudnya rasa tidak percaya. Jika benar, ia adalah langkah licik untuk membongkar kekuatan dan kelemahan pihak lawan sekali gus memberi kelebihan di meja rundingan.

Malangnya, dakwaan kebocoran ini menambah lagi beban kepada usaha yang sudah pun rumit dan berlarutan demi mencari penyelesaian yang mampu memenuhi cita-cita Sarawak serta kepentingan nasional dalam sektor minyak dan gas.

Semua ini mungkin tidak benar, dan keputusan perbicaraan bekas kakitangan Petronas yang dituduh membocorkan rahsia syarikat kepada Petros mungkin membuktikan perkara tersebut.

Petros pula telah menjarakkan diri daripada dakwaan itu, menegaskan pihaknya tidak pernah menerima dokumen rahsia yang didakwa dihantar kepada ketua pegawai eksekutif dan pengawal kewangan. Ia juga menghormati serta tidak akan mencampuri prosiding undang-undang.

Namun, imej yang terhasil jelas tidak baik.

Kes perbicaraan melibatkan bekas kakitangan Petronas yang didakwa cuba melakukan pendedahan maklumat kepada Petros kini sedang berjalan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. – Gambar Pexels, 11 Julai, 2026

Bagi Petronas, dakwaan kebocoran bukan sahaja menjejaskan interaksi dengan Petros, malah bagi sebuah syarikat dengan banyak rakan kongsi antarabangsa, insiden sebegini mencalar reputasi sebagai pemain utama industri minyak dan gas.

Perbicaraan membabitkan seorang kakitangan Petronas, yang telah diberhentikan kerja kerana berkongsi dokumen rahsia unit huluan (Upstream) syarikat secara haram, setakat ini masih belum mendedahkan motif sebenar: sama ada beliau dipengaruhi, bertindak sendiri, atau sekadar berkongsi maklumat tanpa niat jahat?

Insiden yang didakwa berlaku pada akhir 2024 itu terjadi ketika kedua-dua syarikat sedang berunding mengenai pembahagian perniagaan gas negeri serta menentukan operasi syarikat minyak nasional di Sarawak.

Tidak banyak kemajuan dicapai; malah kedua-dua pihak sering bertentangan sehingga membawa kes ke mahkamah. Mahkamah kini diminta menentukan undang-undang mana yang berkuasa mutlak — Akta Pembangunan Petroleum 1974 atau Ordinan Perlombongan Minyak Sarawak 1958.

Ada yang melihat isu ini sebagai ancaman terhadap keluhuran Perlembagaan, walaupun pandangan itu mungkin keterlaluan.

Di medan politik, meskipun Putrajaya dan Kuching berulang kali menyatakan isu hampir selesai, hakikatnya ia masih berlarutan. Pertikaian Negeri–Persekutuan ini juga berpotensi dijadikan modal politik menjelang pilihan raya.

Selama 50 tahun, Petronas menjadi badan tunggal menyelaras dan membangunkan sumber minyak dan gas negara. Namun rungutan semakin kuat dari Sarawak, Sabah dan Terengganu bahawa mereka tidak menikmati manfaat sewajarnya.

Dengan latar sejarah pembentukan Malaysia, isu ini sarat dengan emosi dan politik, menjadikan pertikaian Petros–Petronas sukar reda.

Hakikatnya, keputusan mahkamah tidak akan menamatkan pertikaian. Pihak yang kalah pasti tidak puas hati, manakala pihak yang menang juga tidak mampu mendabik dada.

Mungkin sudah tiba masa untuk melihat dari luar sudut pandang mahkamah. Isu Petros–Petronas tidak harus menjadi permainan zero-sum. Dalam pertikaian antara negeri dan negara, pemenang akhirnya juga akan menjadi pihak yang kalah.

Kita boleh mengambil iktibar daripada pelbagai model pembangunan bersama yang disertai Malaysia apabila berdepan tuntutan bertindih sempadan maritim dengan negara jiran. Pembangunan bersama ini, tanpa menjejaskan hak mana-mana pihak, membolehkan Malaysia, Thailand, Vietnam dan Indonesia mengenepikan tuntutan wilayah masing-masing, namun tetap membangunkan serta menikmati manfaat ekonomi daripada kawasan yang dipertikaikan.

Sebaik-baiknya, semua keputusan perlu dibuat dengan mengambil kira kepentingan Petros, Petronas, Sarawak dan Malaysia. Walaupun terdapat tuntutan serta kepentingan yang bersaing, akhirnya—seperti kawasan pembangunan bersama—ia mestilah satu keputusan perniagaan yang memberi manfaat kepada semua pihak.

Ia akan menjadi satu siri tolak ansur yang perlu dipatuhi semua pihak, agar isu ini tidak dijadikan tunggangan oleh ahli politik yang hanya mencari kemenangan segera. – 11 Julai 2026


Datuk Zainul Arifin adalah Ketua Pegawai Eksekutif Big Boom Media yang menerbitkan Scoop.my

Topics

 

◉ Popular

Penemuan kecederaan luar biasa pada badan, JSJ Bukit Aman diarah segera siasat kematian Noorizwan

'Saya telah meminta JSJ, khususnya pengarahnya Datuk M. Kumar, untuk menyiasat kes ini secepat mungkin dan memaklumkan hasil siasatan kepada orang ramai,' kata Mohd Khalid

[WATCH] ‘The perception exists, but it isn’t true’: Tengku Zafrul addresses ‘payung kuning’ narrative

Former Investment, Trade and Industry Minister dismisses claims that he acts as a royal intermediary for Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim, saying the long-standing 'payung kuning' perception does not reflect reality

[TONTON] ‘Persepsi itu wujud, tapi ia tidak benar’: Tengku Zafrul jawab naratif ‘payung kuning’

Bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri menepis dakwaan beliau bertindak sebagai orang tengah istana bagi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sambil menegaskan persepsi lama ‘payung kuning’ tidak mencerminkan realiti

◉ Related