KUALA LUMPUR – Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) telah menganugerahkan Kontrak Sistem Turnkey (STC) bernilai RM3.028 bilion bagi Laluan Mutiara Pulau Pinang kepada usahasama Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) dan Theta Edge Bhd, sekali gus menandakan satu lagi langkah penting dalam pelaksanaan rangkaian metro pertama di Pulau Pinang.
Dalam satu kenyataan, MRT Corp berkata pelantikan itu membolehkan kerja-kerja reka bentuk terperinci serta pelaksanaan sistem rel dijalankan secara serentak dengan program pembinaan sivil yang sedang berlangsung, sekali gus memastikan kedua-dua komponen projek bergerak seiring ke arah menyiapkan keseluruhan laluan.
“Pelantikan ini membolehkan reka bentuk terperinci sistem rel diteruskan selari dengan program pembinaan sivil yang sedang berjalan, sekali gus memastikan kedua-dua komponen kekal sejajar ke arah penyampaian keseluruhan projek,” kata MRT Corp.
Kontrak bernilai RM3.028 bilion itu merangkumi tujuh pakej utama sistem rel iaitu tren elektrik dan peralatan depoh; sistem isyarat dan kawalan tren bersama pintu platform automatik; kerja landasan, rel konduktor serta kenderaan penyelenggaraan; sistem bekalan dan pengagihan kuasa; sistem SCADA rel serta sistem pengurusan penyelenggaraan berkomputer; sistem telekomunikasi dan teknologi maklumat; serta sistem kutipan tambang automatik.
Dalam pemfailan berasingan kepada Bursa Malaysia, MRCB memaklumkan kontrak itu diberikan kepada usaha sama tidak diperbadankan MRCB-Theta Edge JV dengan pegangan ekuiti 90:10, masing-masing memihak kepada MRCB dan Theta Edge Bhd.
Usaha sama itu dilantik sebagai kontraktor turnkey yang bertanggungjawab melaksanakan kerja-kerja kejuruteraan, perolehan, reka bentuk, pembinaan, pengujian, pentauliahan dan penyelenggaraan sistem rel bagi projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang. Kontrak tersebut dijadualkan siap dalam tempoh 68.8 bulan dari tarikh permulaan projek.
MRCB berkata projek itu dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan masa depan Kumpulan MRCB.
Walaupun mengakui projek berkenaan terdedah kepada risiko pembinaan seperti turun naik harga bahan binaan dan peralatan, syarikat itu berkata pengalaman luasnya dalam melaksanakan projek infrastruktur berskala besar meletakkannya dalam kedudukan kukuh untuk mengurus risiko berkenaan melalui kawalan operasi serta langkah mitigasi yang telah ditetapkan.
Syarikat itu turut memaklumkan bahawa tiada pengarah, pemegang saham utama atau individu yang mempunyai kaitan dengan mereka mempunyai sebarang kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam projek tersebut.
Penganugerahan kontrak itu dibuat ketika pembinaan di bawah Kontrak Utama Sivil 1 (Civil Main Contract 1 – CMC1), yang meliputi jajaran dari Silicon Island ke KOMTAR, terus menunjukkan perkembangan memberangsangkan.
MRT Corp berkata ia mengguna pakai pendekatan reka bentuk dan bina secara selari dengan mengeluarkan lukisan rujukan pembinaan sementara reka bentuk kejuruteraan terperinci sedang dimuktamadkan, sekali gus membolehkan kerja pembinaan diteruskan tanpa perlu menunggu keseluruhan reka bentuk disiapkan.
Sehingga kini, sebanyak 45 penutup cerucuk dan 32 tiang jejambat siap dibina, manakala kerja pembinaan kini sedang dijalankan di 14 daripada 19 seksyen pembinaan yang dirancang di bawah pakej CMC1.
MRT Corp turut memaklumkan bahawa 93 peratus tanah yang diperlukan bagi pakej CMC1 telah disediakan hasil kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri Pulau Pinang dan agensi-agensi berkaitan.
Sementara itu, kerja-kerja penyiasatan tanah telah dimulakan di Silicon Island bagi memudahkan pembinaan depoh pada masa hadapan, manakala kerja pembersihan dan penyediaan tapak di Tapak Pesta telah selesai selepas penyerahan tanah oleh kerajaan negeri Pulau Pinang pada April lalu.
MRT Corp berkata penilaian tender bagi Kontrak Utama Sivil 2 (CMC2), yang melibatkan jajaran dari KOMTAR ke Penang Sentral, berjalan mengikut jadual dengan kontrak itu dijangka dianugerahkan pada November tahun ini.
Perbadanan itu turut memaklumkan bahawa penyertaan Bumiputera di bawah pakej CMC1 telah melebihi 20 peratus daripada nilai keseluruhan kontrak menerusi penganugerahan pakej subkontrak bagi pembinaan stesen dan kerja-kerja berkaitan, sekali gus mencerminkan komitmennya dalam memperkukuh keupayaan industri tempatan.
MRT Corp turut merakamkan penghargaan kepada rakyat Pulau Pinang atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh pembinaan serta menegaskan komitmennya untuk meminimumkan gangguan sambil memastikan projek itu disiapkan dengan jayanya. – 6 Ogos 2026

