◉ HEADLINES

26 pertuduhan wang haram terhadap Nicky Liow ditarik balik selepas bayar kompaun RM10 juta : AGC

AGC berkata kompaun itu dibayar oleh Liow pada 29 Mei 2023 dan penarikan balik semua pertuduhan tersebut adalah selaras dengan Seksyen 92 Akta 613

1:53 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Jabatan Peguam Negara (AGC) menarik balik 26 pertuduhan pengubahan wang haram terhadap ahli perniagaan Liow Soon Hee, atau dikenali sebagai Nicky Liow, selepas beliau membayar kompaun sebanyak RM10 juta, selain pelucuthakan bon dan aset yang telah disita.

Penjelasan itu dibuat susulan gesaan beberapa pertubuhan masyarakat sivil (CSO) yang meminta Peguam Negara, Tan Sri Dusuki Mokhtar mempersoalkan kenapa pendakwaan terhadap Liow, yang melibatkan tuduhan pengubahan wang haram melebihi RM36 juta, dihentikan.

Dalam satu kenyataan hari ini, AGC menegaskan Liow tidak pada bila-bila masa dilepaskan tanpa sebarang tindakan undang-undang, sebaliknya didakwa atas 26 pertuduhan mengikut Seksyen 4 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 12 April 2022.

Menurut AGC, Liow melalui peguamnya, Tetuan Rajpal, Firah & Vishnu mengemukakan surat representasi bertarikh 15 Disember 2022 dan 6 April 2023 bagi memohon supaya kesemua 26 pertuduhan itu dikenakan kompaun di bawah Seksyen 92 Akta 613.

“Surat-surat representasi yang dikemukakan oleh pihak Nicky Liow telah diteliti dan dikaji secara terperinci.

“Berdasarkan keseluruhan keterangan yang ada serta penilaian dan pertimbangan pihak pendakwaan, pejabat ini bersetuju menawarkan kompaun berjumlah RM10,000,000 (RM10 juta),” kata AGC

Menurut AGC, kompaun itu dipersetujui oleh Liow dan telah dibayar pada 29 Mei 2023.

AGC turut memaklumkan penyelesaian itu turut melibatkan pelucuthakan bon berjumlah RM647,366 serta pelucuthakan aset yang telah disita.

Selepas pembayaran kompaun dibuat, AGC berkata pihaknya menarik balik semua pertuduhan terhadap Liow selaras dengan Seksyen 92 Akta 613.

Pada 15 Jun 2023, Mahkamah Sesyen Shah Alam memerintahkan Liow dilepaskan daripada semua pertuduhan.

AGC berkata keputusan itu selaras dengan kuasa dan budi bicara Peguam Negara di bawah Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang berkaitan.

Ia turut menegaskan bahawa keputusan tersebut dibuat berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada keseluruhan hasil siasatan, tanpa dipengaruhi sebarang tekanan luar atau sentimen awam.

“Keputusan yang dibuat adalah selaras dengan kuasa dan budi bicara Peguam Negara di bawah Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang yang berkuat kuasa.

“Ia juga dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang berdasarkan maklumat daripada keseluruhan hasil siasatan tanpa dipengaruhi tekanan luar atau sentimen awam, di samping mengambil kira integriti proses pendakwaan dan keperluan memastikan keadilan dalam sistem perundangan jenayah,” menurut AGC.

Sebelum ini, beberapa pertubuhan masyarakat sivil mempersoalkan mengapa pertuduhan terhadap Liow dihentikan lebih tiga tahun selepas beliau diberikan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA), dengan menyatakan orang ramai berhak mengetahui alasan di sebalik keputusan itu.

Menurut mereka, isu tersebut bukan sekadar melibatkan keputusan kes, tetapi juga ketelusan dalam pelaksanaan kuasa budi bicara pendakwaan.

Mereka berhujah bahawa orang ramai wajar mengetahui pertimbangan yang membawa kepada penerimaan representasi Liow, sama ada pertuduhan boleh dikemukakan semula, dan mengapa pendakwaan berprofil tinggi membabitkan pengubahan wang haram dihentikan.

Mereka turut menggesa supaya diwujudkan mekanisme perlindungan yang lebih jelas bagi mengawal keputusan pendakwaan, termasuk garis panduan berkanun, keperluan memberikan alasan bertulis bagi penghentian kes berprofil tinggi serta pelaporan tahunan mengenai kes-kes yang dihentikan.

Pertubuhan-pertubuhan itu turut menegaskan bahawa pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya semata-mata tidak mencukupi tanpa mekanisme yang menjamin ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam pelaksanaan kuasa pendakwaan.

Mereka berpendapat reformasi perlu memberi tumpuan bukan sahaja kepada siapa yang memegang kuasa pendakwaan, tetapi juga bagaimana keputusan tersebut dibuat, dijelaskan dan disemak. – 7 Ogos, 2026

Topics

 

◉ Hangat

MCMC condemns viral Quran desecration video, vows legal action as investigation continues

The Malaysian Communications and Multimedia Commission (MCMC) has stepped up efforts to identify an individual seen disrespecting the Al‑Quran in viral social media clips, warning the public against spreading incendiary content that could threaten national harmony

Paris Paralympics : Eddy Bernard wins bronze in men’s 100 metre

The achievement marks as Malaysia’s first medal in the 2024 Games

Altimet bergabung dengan Zizi Kirana, Saixse dan Fahimi lancarkan lagu Anak Malaysia

Lagu Anak Malaysia itu dicetuskan untuk menyuntik semangat dan sokongan kepada kontinjen Malaysia dalam Sukan Olimpik 2024 di Paris

◉ Related