KUALA LUMPUR – Mahkamah Rayuan sebulat suara menolak dua rayuan yang difailkan Asiaspace Broadband Sdn Bhd berhubung prosiding semakan kehakiman terhadap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), sekali gus mengesahkan pendirian badan pengawal selia itu dalam perkara berkenaan.
Dalam satu kenyataan, MCMC memaklumkan keputusan yang disampaikan pada 6 Ogos itu menyaksikan panel tiga hakim iaitu Datuk Azhahari Kamal Ramli, Datuk Nadzarin Wok Nordin dan Muniandy Kannyappan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini untuk mengetepikan kebenaran yang diberikan kepada Asiaspace bagi memulakan prosiding semakan kehakiman terhadap MCMC.
Asiaspace Broadband merupakan sebahagian daripada Kumpulan Syarikat Asiaspace yang diasaskan oleh Pengarah Eksekutifnya, Datuk Abdul Ghani Abdullah.
Mahkamah Rayuan turut memerintahkan Asiaspace membayar kos sebanyak RM15,000 kepada MCMC bagi setiap rayuan, menjadikan jumlah keseluruhan kos sebanyak RM30,000.
Pertikaian itu melibatkan keputusan kawal selia yang dibuat oleh MCMC berkaitan peruntukan spektrum Asiaspace serta cadangan pengaturan peluncuran perkhidmatan syarikat tersebut.
Asiaspace telah mencabar keputusan MCMC melalui mekanisme rayuan yang diperuntukkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, di samping memfailkan prosiding semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi.
Dalam menolak rayuan tersebut, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa pihak-pihak yang terlibat perlu terlebih dahulu menggunakan semua remedi berkanun yang wujud di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 sebelum memohon semakan kehakiman.
Mahkamah mendapati tiada keadaan luar biasa dalam kes itu yang boleh membenarkan Asiaspace mengetepikan proses rayuan berkanun.
Mahkamah juga memutuskan bahawa maklumat material tidak didedahkan sepenuhnya ketika Asiaspace memohon kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman.
Selain itu, mahkamah berpendapat tindakan meneruskan semakan kehakiman ketika rayuan statutori yang melibatkan perkara sama masih berjalan merupakan satu penyalahgunaan proses mahkamah.
“Keputusan ini mengukuhkan kepentingan mematuhi rangka kerja rayuan berkanun yang ditetapkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 sebelum mendapatkan campur tangan mahkamah melalui semakan kehakiman,” kata MCMC. – 7 Ogos, 2026
