HEADLINES

Lindung 24 Jam: Caruman Perkeso naik berperingkat ke 1.25%, ganti 80% pendapatan pekerja

Perlaksanaan skim baharu Perkeso secara bertahap bakal menyaksikan kadar caruman dinaikkan kepada 1.25% menjelang tahun keenam, sekali gus melonjakkan faedah penggantian pendapatan daripada 48% kepada 80% demi perlindungan jangka panjang

4:50 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mengesahkan kadar caruman bagi Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (Lindung 24 Jam) akan dinaikkan secara berperingkat sehingga mencapai 1.25% pada tahun keenam pelaksanaannya.

Langkah berkenaan bakal membolehkan kadar faedah penggantian pendapatan untuk pekerja yang ditimpa kemalangan di luar waktu kerja ditingkatkan secara signifikan—daripada 48% ketika ini kepada 80%.

Timbalan Ketua Eksekutif (Strategik dan Korporat) Perkeso, Edmund Cheong Peck Huang menjelaskan bahawa kadar caruman semasa sebanyak 0.75% merupakan penanda aras terendah yang ditetapkan kerajaan sebagai peringkat permulaan.

“Sebab itulah kita guna 0.75%. Kita akan meningkat untuk pergi semula kepada 1.25% pada tahun keenam dan faedah pun akan bertambah. Bermaksud sekarang ni 48%, tahun keenam ia akan jadi 80% penggantian pendapatan,” kata beliau.

Bercakap kepada media selepas Sesi Literasi Media dan Pengumuman Anugerah Media Perkeso iLINDUNGu 2026 hari ini, Cheong memberitahu bahawa penetapan asal 1.25% diwujudkan bagi menyelaraskan struktur faedah Perkeso yang kebiasaannya menyediakan kadar gantian antara 80 hingga 90%.

Mengambil contoh senario sebenar, seorang pekerja yang meraih gaji bulanan RM6,000 berpotensi menerima bayaran sehingga RM4,800 sebulan sekiranya mengalami hilang upaya kekal langsung.

Menjawab isu maklum balas majikan, Cheong menegaskan skim Lindung 24 Jam tidak dilaksanakan secara tergesa-gesa sebaliknya telah melalui proses perbincangan komprehensif sejak 2017 di peringkat kementerian dan Kabinet.

Bagi mengelakkan kekeliruan, pengasingan caruman dalam slip gaji turut dilaksanakan demi memastikan ketelusan agar pekerja memahami fungsi perlindungan setiap skim—sama ada Skim Bencana Pekerjaan, Skim Insurans Pekerjaan (SIP), mahupun Lindung 24 Jam.

Pada masa sama, beliau menasihati tenaga kerja tempatan agar tidak terburu-buru untuk menarik diri daripada skim tersebut semata-mata kerana sudah mempunyai insurans peribadi atau kad perubatan.

“Contohnya kalau kita bergaji RM2,000 dan PA (insurans kemalangan diri) kita hanya RM10,000, ia akan bertahan hanya lima bulan. Tapi dengan Lindung 24 Jam dan sekiranya anda mempunyai kecederaan yang serius, ia boleh menanggung anda sehingga seumur hidup. Itu perlu dikaji dan diambil tahu. Jadi, pilihlah dengan betul,” jelas beliau. – 17 Ogos, 2026

Topics

 

Hangat

DoSM estimates Malaysia’s population to be 34.1 mil in 2024

Three states with the highest population are Selangor, Johor, Sabah

Harimau Malaya is TMJ’s vision: CEO

Rob Friend describes Johor Crown Prince as 'the visionary' behind Harimau Malaya’s heritage player initiative

Feathers ruffled over hornbill flap – Joseph Masilamany

Why getting Sarawak’s state bird right matters more than you think 

Related