KUALA LUMPUR – Kawasan Serian mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) tahap bahaya setakat 10.40 pagi ini, dengan bacaan mencecah 385.
Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), bacaan IPU itu direkodkan di stesen pemantauan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian.
Sementara Samarahan pula merekodkan bacaan IPU kedua tertinggi tahap bahaya iaitu 316 manakala Kuching merekodkan bacaan 297 dan Sri Aman 215 iaitu bacaan sangat tidak sihat.
13 kawasan pula merekodkan bacaan IPU tidak sihat pula antaranya ialah Sarikei (196), Sibu (189), Bintulu (182), Samalaju (173), Mukah (173), Kapit (160), Miri (157) dan Batu Muda (153), Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri (153), Johan Setia di Selangor (153), Taiping dan Tanjung Malim di Perak (108) serta Labuan (103)
Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala IPU melebihi 300 dikategorikan sebagai bahaya.
Data IPU dikeluarkan setiap jam berdasarkan bacaan daripada 68 stesen pengawasan kualiti udara di seluruh negara.
Semalam, Bernama melaporkan Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan kes asma di fasiliti sentinel meningkat lebih lapan kali ganda kepada 1,811 kes bagi Minggu Epidemiologi ke-34, berbanding 219 kes pada minggu sebelumnya.
Kes konjunktivitis turut meningkat daripada 146 kepada 720 kes, manakala tiada kematian berkaitan komplikasi jerebu dilaporkan.
KKM menasihatkan orang ramai, terutama kanak-kanak, warga emas dan pesakit paru-paru kronik, supaya mengehadkan aktiviti fizikal di luar bangunan, serta memakai pelitup muka seperti N95 jika perlu berada di kawasan terbuka. – 30 Ogos, 2026
